
Guru KAFA dan keperluan mendepani pendidikan masa hadapan
Dalam arus pendidikan abad ke-21 yang semakin berkembang pesat, peranan guru tidak lagi terbatas sebagai penyampai ilmu semata-mata.
Guru masa kini perlu bersedia menjadi pembimbing, pemudah cara, pembina karakter, agen perubahan sosial serta penggerak pembangunan insan yang seimbang dari sudut intelek, emosi, rohani dan sahsiah.
Hakikat ini turut melibatkan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang memainkan peranan sangat besar dalam membentuk asas keagamaan generasi muda negara.
Atas kesedaran tersebut, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Besut, Terengganu telah menganjurkan Kursus Pembangunan Profesionalisme Keguruan (Guru KAFA) selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Mei 2026 bertempat di Bilik Seminar As-Syafie.
Program anjuran Seksyen Pembangunan Insan itu menghimpunkan seramai 45 orang guru KAFA dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Sepanjang tiga hari bersama para peserta, saya menyaksikan sendiri kesungguhan dan keikhlasan guru-guru KAFA dalam menuntut ilmu.
Ada dalam kalangan mereka telah berkhidmat lebih 20 tahun malah melebihi 30 tahun sebagai guru KAFA, namun mengakui belum pernah didedahkan dengan kursus pembangunan profesionalisme yang benar-benar memberi fokus kepada pedagogi kontemporari, pembangunan emosi guru, kreativiti pengajaran, inovasi PdP serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan.

Pengakuan itu sebenarnya membuka mata banyak pihak bahawa guru-guru KAFA juga sangat memerlukan ruang latihan profesional yang tersusun dan relevan dengan keperluan pendidikan semasa.
Dalam dunia pendidikan yang semakin dipengaruhi oleh teknologi digital dan kecerdasan buatan, guru KAFA tidak boleh terus berada dalam lingkungan pendekatan tradisional semata-mata.
Hal ini bukan bermaksud nilai tradisi diketepikan, sebaliknya pendekatan pengajaran agama perlu diperkasakan dengan kaedah yang lebih kreatif, kontekstual dan dekat dengan dunia murid masa kini.
Murid generasi hari ini lahir dalam persekitaran digital. Mereka membesar dengan telefon pintar, media sosial, video interaktif dan teknologi AI.
Jika guru gagal memahami perubahan landskap pembelajaran ini, jurang antara guru dengan murid akan menjadi semakin besar.
Justeru, guru KAFA perlu diberi pendedahan berkaitan pedagogi kontemporari yang mampu menjadikan pengajaran agama lebih menarik, interaktif dan bermakna.
Penggunaan teknologi digital bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan dalam memastikan ilmu agama dapat disampaikan secara lebih efektif kepada generasi muda.

Dalam konteks pendidikan negara hari ini, kepentingan pendidikan KAFA juga semakin terserlah selepas pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2021.
Selepas UPSR dimansuhkan, sistem pendidikan negara memberi penekanan kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) serta Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi kemasukan ke sekolah-sekolah terpilih seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Tentera Diraja (MTD) dan institusi pendidikan khusus lain.
Dalam situasi tersebut, Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) kini dilihat semakin penting sebagai salah satu nilai tambah dan indikator penguasaan pendidikan Islam murid, khususnya dalam permohonan kemasukan ke sekolah-sekolah agama dan institusi pendidikan terpilih yang turut menilai aspek penguasaan al-Quran, pendidikan Islam dan sahsiah diri murid.
Perkembangan ini memperlihatkan bahawa pendidikan KAFA bukan lagi dianggap sebagai pendidikan sampingan, sebaliknya menjadi salah satu komponen penting dalam pembangunan modal insan negara.
Atas sebab itulah guru-guru KAFA perlu dipersiapkan dengan latihan profesionalisme yang lebih sistematik dan relevan dengan perubahan pendidikan semasa.
Mereka bukan sahaja perlu menguasai ilmu agama, tetapi turut perlu memahami pedagogi moden, teknologi digital dan pendekatan pembelajaran abad ke-21 agar mampu membimbing murid secara lebih efektif dan menyeluruh.
Melalui kursus ini, para peserta didedahkan dengan pelbagai slot seperti Identiti dan Peranan Guru Sebagai Profesional, Karisma Guru, Personaliti dan Kecerdasan Emosi Guru, Rekabentuk Pengajaran Berkesan dan Berimpak, Kreativiti Dalam Pengajaran serta Inovasi PdP.
Antara yang paling mendapat perhatian peserta ialah sesi praktikal penghasilan bahan PdPc menggunakan AI.

Ramai peserta pada awalnya menganggap teknologi AI sesuatu yang sukar dan rumit.
Namun selepas diberikan pendedahan secara praktikal, mereka mula melihat AI sebagai alat sokongan yang sangat membantu guru dalam menyediakan bahan pengajaran, menghasilkan visual pembelajaran, membina latihan interaktif dan menjimatkan masa penyediaan PdP.
Lebih penting, penggunaan teknologi dalam pendidikan Islam perlu dipandu dengan nilai dan etika.
Di sinilah peranan guru KAFA menjadi sangat signifikan. Guru KAFA bukan sekadar mengajar hukum-hakam atau bacaan al-Quran, tetapi turut membentuk jiwa, akhlak dan karakter murid dalam mendepani cabaran dunia moden yang semakin kompleks.
Dalam konteks Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, antara fokus utama pendidikan negara ialah pembangunan modal insan yang seimbang, berdaya tahan, berfikiran kritis serta mempunyai nilai kemanusiaan dan jati diri yang kukuh.
Aspirasi ini sangat selari dengan fungsi sebenar guru KAFA sebagai murabbi yang membina kekuatan rohani dan sahsiah generasi muda.
Hari ini, masyarakat berhadapan dengan pelbagai cabaran sosial dan moral yang semakin membimbangkan.
Murid bukan sahaja perlu cemerlang akademik, tetapi turut memerlukan panduan dalam membina adab, integriti, empati, disiplin dan kekuatan spiritual.
Dalam keadaan inilah guru KAFA menjadi benteng penting dalam membentuk generasi yang bukan sahaja bijak, tetapi juga berakhlak.

Sepanjang kursus berlangsung, saya amat tersentuh dengan maklum balas yang diberikan peserta.
Ada peserta menyatakan bahawa kursus ini benar-benar 'membangunkan jiwa guru' dalam diri mereka.
Malah, ada yang mengakui tidak pernah berasa begitu fokus mengikuti kursus sehingga tidak menyentuh gula-gula yang dibawa sepanjang tiga hari berkursus kerana terlalu tertarik dengan setiap slot yang dijalankan.
Lebih menyentuh hati apabila seorang peserta menyatakan bahawa beliau hadir ke ILIM Besut buat kali pertama dan merasakan pengalaman mengikuti kursus tersebut sangat berbeza kerana pendekatan penyampaian yang dekat dengan hati guru.
Seorang lagi peserta menyatakan bahawa beliau dapat merasai keikhlasan dalam setiap perkongsian ilmu yang disampaikan sepanjang kursus berlangsung.
Bagi saya, penghargaan seperti itu bukanlah ukuran kejayaan seorang penceramah, tetapi petunjuk bahawa guru-guru sebenarnya dahagakan pengisian yang benar-benar menyentuh aspek profesionalisme, jiwa pendidik dan realiti pendidikan semasa.
Hakikatnya, guru KAFA bukan kelompok yang meminta kemewahan atau pengiktirafan besar.
Mereka hanya mahu diberi perhatian, latihan dan peluang untuk terus berkembang sebagai pendidik.
Mereka mahu menjadi guru yang lebih baik untuk anak-anak murid mereka.

Atas sebab itulah program pembangunan profesionalisme seperti ini perlu diperluaskan secara berterusan.
Guru KAFA tidak boleh dipinggirkan daripada arus latihan profesional pendidikan negara.
Mereka juga perlu dibimbing dengan kemahiran pedagogi semasa, teknologi digital, komunikasi berkesan, psikologi pendidikan serta pendekatan pembelajaran abad ke-21.
Dalam dunia yang semakin mencabar, kita memerlukan guru KAFA yang bukan sahaja mampu mengajar ilmu agama dengan baik, tetapi juga mampu memahami psikologi murid, membina hubungan insaniah, menggunakan teknologi secara bijaksana dan menjadi inspirasi kepada generasi muda.
Sesungguhnya, membina masa depan pendidikan Islam bukan sekadar soal silibus atau peperiksaan, tetapi soal membina manusia, dan di barisan hadapan perjuangan itu berdirinya guru-guru KAFA yang ikhlas mendidik demi agama, bangsa dan negara.
Maklumat penulis:
Pensyarah, Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, Kelantan, Dr Mohd Ridzuan Md Nasir