
Guru KAFA cemerlang diraikan dalam Majlis Pengiktirafan & Penghargaan JAIS 2026
Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sempena Hari Guru Kebangsaan 2026 menyaksikan seramai 387 guru menerima pelbagai anugerah atas kecemerlangan dan sumbangan mereka dalam memperkasakan pendidikan Islam di negeri ini.
Penerima anugerah terdiri daripada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah mendidik anak bangsa.
Antara kategori penghargaan yang disampaikan ialah Anugerah 60 Tahun Perkhidmatan Guru KAFA; 25 Tahun Perkhidmatan Guru KAFA; Perkhidmatan Cemerlang Guru KAFA; Anugerah Ketua Guru dan Penyelia KAFA Cemerlang; Institusi Pendidikan Islam Cemerlang serta Anugerah Murabbi Cemerlang.
Majlis turut menyaksikan penyampaian tiga anugerah tertinggi yang menjadi kemuncak acara.
Anugerah Tokoh Guru Lelaki disandang oleh Mohd Zaki Rajikin dan Rosnah Jamali dinobatkan sebagai Tokoh Guru Perempuan.

Manakala Anugerah Tokoh Khas Guru dan Perguruan diberikan kepada Dr Khodori Ahmad, mantan Timbalan Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pengiktirafan yang diberikan diharap dapat menjadi pemangkin kepada guru-guru untuk terus berinovasi, kreatif dan berdaya saing dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Sesungguhnya tiada ukuran yang mampu menandingi jasa guru kerana pengorbanan mereka melangkaui batas masa serta merentasi generasi.

"Kehadiran para guru pada hari ini membuktikan bahawa ketulusan dan kecekalan anda terus menjadi tonggak utama dalam melahirkan generasi yang berilmu serta berakhlak mulia," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Pendidikan JAIS 2026 di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Turut hadir Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Datuk Muhammad Farhan Wijaya dan Bilal Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Firdaus Sazali.
Sementara itu, Mohammad Fahmi berkata, peranan guru pada masa kini jauh lebih mencabar berbanding sekadar menyampaikan ilmu di dalam bilik darjah.

"Guru bukan sahaja penyampai ilmu, malah merupakan ejen perubahan, pembentuk pemikiran kritis dan pemacu kecemerlangan moral.
"Dalam konteks pendidikan Islam, para guru berperanan mendidik generasi agar teguh berpegang kepada prinsip agama, namun pada masa sama terbuka menerima ilmu dan hikmah daripada pelbagai sumber selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak," ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah masyarakat bermula dengan kekuatan sistem pendidikan dan guru merupakan aset paling penting dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang cemerlang dari aspek ilmu, sahsiah serta kepimpinan.

