
'Tak sangka dipilih' - Reaksi tiga tokoh guru selepas menerima pengiktirafan
Berpeluang menemu bual tiga tokoh guru yang diumumkan dalam Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) 2026 merupakan pengalaman cukup bermakna buat penulis.
Mana tidaknya, bukan mudah untuk mendengar sendiri perkongsian daripada insan yang telah menabur bakti puluhan tahun dalam dunia pendidikan.
Masing-masing hadir dengan kisah perjuangan tersendiri, selain menitipkan nasihat berharga buat warga pendidik yang sedang berdepan pelbagai cabaran pendidikan masa kini.
Tokoh Khas Guru dan Perguruan, Dr Khodori Ahmad mengakui terkejut apabila diumumkan sebagai penerima anugerah berprestij tersebut.
Menurut anak kelahiran Tanjong Karang, Selangor itu, penghargaan yang diterima dianggap terlalu besar berbanding sumbangan yang telah diberikan sepanjang kerjayanya.
"Anugerah ini terlalu tinggi dan berat buat saya. Saya hanya melakukan apa yang termampu untuk membantu dunia pendidikan.
"Jika ilmu dan pengalaman yang ada boleh dimanfaatkan oleh warga pendidik, saya bersedia untuk berkongsi.
"Sebenarnya, untuk melahirkan kemenjadian murid bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan usaha yang berterusan.
"Tambahan pula, dunia hari ini semakin berubah. Teknologi dan digital telah menguasai pelbagai aspek kehidupan, jadi kita sebagai pendidik juga perlu bergerak seiring dengan perubahan tersebut," katanya.
Dr Khodori dikenali sebagai tokoh yang konsisten memperjuangkan agenda pentaksiran dalam pendidikan, khususnya berkaitan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Band dan ERRA.
Atas sumbangan serta kepakaran yang dimiliki, beliau pernah menerima Anugerah Tokoh Pentaksiran Peringkat Kebangsaan 2018 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Walaupun telah meraih pelbagai pengiktirafan, beliau masih aktif menyumbang idea dan kepakaran dalam dunia pendidikan dengan berpegang teguh kepada prinsip untuk terus beribadah, berkhidmat, berbakti dan berjasa kepada masyarakat.
'Saya hanya guru biasa'
Seterusnya, penulis bertanyakan perasaan Ustaz Mohd Zaki Rajikin yang diangkat sebagai Tokoh Guru Lelaki dalam majlis yang berlangsung di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Berkongsi perasaan selepas menerima anugerah tersebut, beliau mengakui dirinya tidak pernah menyangka akan dipilih sebagai penerima.
"Saya hanya guru biasa. Ramai lagi rakan-rakan yang hebat dan mempunyai kelebihan masing-masing.
"Bila pihak JAIS menghubungi dan memaklumkan saya terpilih menerima anugerah ini, memang saya terkejut. Namun saya anggap ini rezeki daripada ALLAH SWT dan saya sangat bersyukur," katanya.
Anak kelahiran Sabak Bernam itu turut mengakui dunia pendidikan hari ini jauh berbeza berbanding ketika beliau mula bergelar guru.
Menurutnya, pelbagai cabaran baharu menuntut para pendidik untuk memiliki tahap kesabaran yang tinggi.
"Dunia pendidikan sekarang tidak sama seperti dahulu. Cabarannya semakin besar dan kompleks.
"Sebab itu saya berharap guru-guru hari ini terus kuat dan banyak bersabar. Menjadi seorang guru bukan tugas yang mudah, tetapi ia adalah amanah yang sangat besar," ujarnya.
Ustaz Mohd Zaki dikenali sebagai seorang pendidik yang tegas, berintegriti tinggi dan sentiasa menitikberatkan disiplin dalam melaksanakan tanggungjawab.
Buat pilihan yang baik berlandaskan syariah
Bagi penerima Anugerah Tokoh Guru Perempuan, Ustazah Rosnah Jamali, pengiktirafan yang diterima menjadi kenangan manis sepanjang penglibatannya dalam dunia pendidikan.
"Sebagai guru, saya sudah berusaha memberikan yang terbaik sepanjang menjalankan amanah ini. Tidak sangka pula menerima pengiktirafan yang begitu besar. Terima kasih kepada JAIS atas penghargaan ini," katanya.
Sepanjang kerjayanya, Ustazah Rosnah pernah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Tokoh Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali, Anugerah Keluarga Mithali Selangor serta Tokoh Guru Murabbi Cemerlang 2021.
Kini aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan, beliau percaya setiap pengalaman yang dilalui menjadi bekalan berharga dalam kehidupan.
Menurutnya, setiap individu mempunyai pilihan dalam menentukan hala tuju hidup masing-masing.
"Pada saya, hidup ini penuh dengan pilihan. Pilihlah yang baik dan selari dengan syariah.
"Kekayaan sebenar bukan terletak pada harta benda yang dimiliki. Nilai seseorang itu lebih banyak diukur melalui kekayaan jiwa dan akhlaknya," kata beliau.
