
Pilih jalan sukar demi martabat bahasa
Dalam dunia pengucapan awam, tidak semua peserta berani memilih pendekatan yang mencabar.
Namun bagi pelajar Sains Pengurusan Alam Sekitar Universiti Malaya (UM), Khairul Nur Ayuni Rodzan Khairull, penggunaan bahasa Melayu tinggi, bidalan serta pengisian berteraskan sirah dan tadabbur al-Quran menjadi identiti yang ingin diketengahkan di pentas akhir Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2026.
Menjelang pentas akhir, cabaran terbesar yang dihadapinya bukanlah menghafal teks, sebaliknya berdepan keraguan sama ada isi pidato yang sarat bahasa Melayu tinggi dan kupasan ilmiah mampu difahami oleh khalayak umum.
Namun, ketika keyakinannya diuji, sokongan daripada jurulatih dan rakan terdekat menjadi sumber kekuatan untuk terus melangkah.
“Mereka mengingatkan bahawa inilah identiti pidato yang ingin ditampilkan di pentas akhir, sebuah penyampaian yang memartabatkan bahasa Melayu tinggi, disulam bidalan serta kupasan isu sarat dengan nilai ilmu dan pengajaran,” katanya.
Menurut Khairul Nur Ayuni, 23, setiap bait kata perlu dihayati dan disampaikan dengan penuh keyakinan agar mesej yang dibawa tidak kehilangan nilai serta maknanya.
“Saya mengharapkan generasi selepas ini akan terus menyelami keindahan bahasa Melayu yang kaya dengan nilai estetika, adab dan ilmu.
“Setiap ucapan bukan hanya sekadar kata-kata, tetapi amanah yang mampu membentuk cara fikir dan gaya hidup masyarakat,” katanya.

Beliau turut percaya bahawa pentas pidato berperanan melahirkan pemimpin masa depan yang bukan sahaja petah berbicara, malah berilmu, berakhlak dan berwibawa.
Kepuasan sebenar Bagi Khairul Nur Ayuni, penyertaan dalam PABM bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan, sebaliknya mencari kepuasan dalam menyampaikan ucapan yang mampu menyentuh jiwa pendengar.
Katanya, jurulatih sering mengingatkan bahawa kepuasan terhadap penyampaian sendiri merupakan asas kepada pidato yang jujur dan berkesan.
“Setiap ucapan yang dilontarkan bukan sekadar kata-kata, tetapi nasihat dan renungan yang diharap meninggalkan kesan kepada audien,” ujarnya.
Apabila mara ke pentas akhir PABM 2026, beliau menganggap pencapaian itu sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan kesungguhan yang dicurahkan.
Lebih bermakna, pidato Di Bawah Awan Bahasa menjadi detik berharga apabila berpeluang mengangkat keindahan bahasa Melayu, ketinggian ilmu peradaban serta mesej kemanusiaan Palestin.
