
Wakaf digital: Inovasi strategik pembiayaan pendidikan masa depan di Malaysia
Ekonomi Islam bukan sahaja berpusat pada perbankan Islam, takaful atau sukuk, tetapi turut merangkumi instrumen sosial seperti zakat dan wakaf.
Sejak dahulu, wakaf menjadi sumber penting dalam pembiayaan pendidikan di Malaysia, sama ada dalam bentuk tanah, bangunan mahupun dana biasiswa.
Sejarah menunjukkan bahawa banyak institusi pendidikan agama, madrasah dan universiti Islam berkembang hasil sumbangan wakaf masyarakat.
Kini, dengan kemajuan teknologi, konsep wakaf digital muncul sebagai satu inovasi yang memberi kesan besar.
Wakaf digital ialah sistem wakaf tunai yang dipermudah melalui teknologi dan platform dalam talian, sekali gus mengubah cara pembiayaan pendidikan dijalankan.
Seterusnya, wakaf lebih tertumpu kepada aset fizikal seperti tanah dan bangunan.
Namun, seiring perkembangan zaman, sistem wakaf telah berevolusi daripada wakaf tunai kepada wakaf digital melalui penggunaan platform dalam talian dan teknologi rantaian blok.
Wakaf digital dan wakaf tunai saling melengkapi kerana sumbangan masyarakat dapat diurus secara maya.
Menurut laporan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), kutipan wakaf tunai di Malaysia pada tahun 2025 melebihi RM250 juta, dengan hampir 40 peratus daripadanya diagihkan untuk tujuan pendidikan.
Sistem ini membolehkan sumbangan kecil dikumpulkan secara bersama, lalu memberi impak besar kepada pembangunan pendidikan.
Beberapa institusi di Malaysia telah menggunakan aplikasi mudah alih dan portal dalam talian untuk mengurus kutipan wakaf.
Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan penyumbang, malah meningkatkan ketelusan kerana setiap transaksi boleh disemak dan diaudit secara terbuka.
Penyumbang juga berpeluang memilih projek pendidikan yang ingin disokong, sama ada biasiswa, pembinaan sekolah baharu atau penyediaan kemudahan teknologi.
Pemanfaatan wakaf digital membuka peluang luas untuk memperkukuh sektor pendidikan negara.
Pertama, ia dapat menyediakan biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan, khususnya anak-anak asnaf yang berpotensi tetapi terhalang oleh masalah kewangan. Melalui sistem digital, proses permohonan dan penyaluran bantuan dapat diurus dengan lebih sistematik serta telus.
Kedua, dana wakaf boleh digunakan untuk pembangunan institusi pendidikan Islam seperti sekolah dan universiti. Banyak sekolah agama rakyat dan pondok berdepan kekangan dana bagi menampung kos operasi serta pembangunan prasarana.
Menjelang akhir tahun 2025, lebih 120 projek pendidikan telah dibiayai melalui dana wakaf, termasuk pembinaan bangunan sekolah, penyediaan makmal komputer dan pemberian biasiswa.
Wakaf digital menjadi penyelesaian berkesan kerana masyarakat boleh menyumbang secara berterusan tanpa menunggu projek besar.
Ketiga, wakaf digital menyokong program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Islamik.
Menerusi Belanjawan MADANI 2026, kerajaan memperkenalkan inisiatif melengkapkan pelajar tahfiz dengan kemahiran teknikal agar lebih berdaya saing.
Dana wakaf boleh digunakan untuk menyediakan bengkel, peralatan moden dan tenaga pengajar berkualiti.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh pendidikan agama, malah melahirkan generasi hafiz yang memiliki kepakaran profesional.
Namun, terdapat cabaran yang perlu diatasi.
Pertama, tahap kefahaman masyarakat masih rendah kerana ramai tidak menyedari bahawa wakaf digital sebenarnya ialah wakaf tunai yang dipermudah melalui teknologi.
Oleh itu, kempen kesedaran perlu dipergiat bagi meningkatkan keyakinan orang ramai untuk menyumbang melalui platform digital.
Malaysia kini menjadi hab kewangan Islam global, maka peluang untuk memperluas wakaf digital sangat besar.
Sokongan kerajaan dan institusi juga amat penting. Dasar pembangunan yang menyeluruh perlu digubal bagi memacu pertumbuhan wakaf digital.
Kerajaan boleh menawarkan insentif cukai kepada penyumbang, manakala institusi pendidikan boleh bekerjasama dengan bank Islam dan syarikat teknologi untuk membina platform mesra pengguna.
Kutipan wakaf digital mencatat pertumbuhan tahunan sekitar 15 peratus, sejajar dengan peningkatan penggunaan aplikasi mudah alih dan portal dalam talian.
Dengan teknologi, wakaf digital berpotensi menjadi model pembiayaan pendidikan yang berkekalan serta terbuka, selari dengan agenda Belanjawan MADANI 2026.
Untuk menjamin keberkesanan wakaf digital dalam membiayai pendidikan, beberapa langkah penambahbaikan perlu dilakukan.
Pertama, kerajaan dan institusi agama wajar membangunkan platform wakaf digital bersepadu yang dikawal selia secara rasmi.
Kedua, kempen kesedaran nasional mengenai kepentingan wakaf digital perlu dipertingkat. Masyarakat harus diyakinkan bahawa sumbangan kecil mereka mampu memberi kesan besar kepada pembangunan sekolah dan universiti.
Ketiga, institusi pendidikan boleh melaksanakan projek wakaf yang telus dengan menyiarkan laporan berkala secara terbuka. Dengan kutipan melebihi RM250 juta setahun, masyarakat berhak mendapat laporan telus bagi mengekalkan keyakinan terhadap wakaf digital. Sebagai contoh, setiap sumbangan boleh dipaparkan di laman sesawang sekolah bersama status projek yang sedang dijalankan.
Keempat, kerjasama dengan sektor swasta juga penting. Syarikat teknologi boleh membangunkan sistem rantaian blok untuk menjamin ketelusan, manakala bank Islam menyediakan saluran pembayaran yang mudah serta patuh syariah.
Kesimpulannya, wakaf digital bukan sekadar inovasi, tetapi keperluan strategik untuk memastikan kelestarian pendidikan Islam dalam menghadapi arus pemodenan.
Inisiatif ini membuktikan bahawa prinsip ekonomi Islam bersifat dinamik dan mampu berintegrasi dengan teknologi tanpa menjejaskan syariah.
Pelaksanaan wakaf digital yang telus dan sistematik berupaya meletakkan Malaysia sebagai model negara Islam yang berjaya menyepadukan tradisi dengan inovasi.
Dengan sokongan masyarakat, institusi pendidikan dan kerajaan, wakaf digital berpotensi menjadi tunjang utama pembiayaan pendidikan masa depan di Malaysia.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem ekonomi Islam, tetapi juga menjamin akses pendidikan yang lebih adil dan terbuka untuk semua lapisan masyarakat.
Masa depan pendidikan negara akan lebih kukuh sekiranya wakaf digital dijadikan agenda nasional yang diperkasa secara berterusan
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nurul Aisyah Mohamed Ansarullah
2) Penyelaras Kursus Pengenalan kepada Ekonomi Islam, UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my