
Langkah persiap generasi muda!
Subjek Gerontologi usaha hadapi Malaysia sebagai negara menua
Gerontologi merupakan bidang yang semakin relevan dalam landskap pendidikan dan masyarakat hari ini.
Seiring peningkatan jumlah warga emas di Malaysia, pengetahuan berkaitan penjagaan, kesihatan dan kesejahteraan golongan tersebut menjadi semakin penting.
Disebabkan ramai yang masih kurang mengenali gerontologi, Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Seksyen 24 (2), Shah Alam baru-baru ini mengadakan Karnival Gerontologi Peringkat Kebangsaan.

Lebih daripada sekadar platform perkongsian ilmu, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Alwardah Dolhalit berkata, program ini menjadi medan memperkenalkan pelbagai produk, teknologi serta peralatan yang menyokong kesejahteraan warga emas.
Menurutnya, pengunjung berpeluang melihat sendiri fungsi peralatan perubatan dan bantuan penjagaan yang mampu meningkatkan kualiti hidup golongan berusia.
“Demonstrasi penjagaan warga emas yang dipersembahkan memberi pendedahan praktikal tentang teknik pengendalian yang betul, sekali gus membantu memastikan warga emas menerima penjagaan yang selamat, selesa dan berkualiti demi mencapai penuaan yang sejahtera,” katanya kepada Sinar Bestari.
Mata pelajaran elektif
Gerontologi bukan sekadar mata pelajaran elektif, malah menjadi platform awal murid meneroka bidang kesihatan dan penjagaan warga emas.
Dalam program Mata Pelajaran Vokasional (MPV), tambah Alwardah, murid perlu melengkapkan dua komponen utama iaitu kerja kursus amali serta menduduki peperiksaan SPM bagi subjek Gerontologi Asas dan Geriatrik.

“Gabungan teori dan amali ini membolehkan murid-murid memperoleh pengetahuan serta kemahiran yang lebih khusus dalam bidang berkaitan.
"Menariknya, pendedahan itu turut membuka laluan ke pelbagai bidang pengajian dan kerjaya seperti kejururawatan, fisioterapi, sains sukan dan bidang kesihatan lain,” ujarnya.
Lebih dua dekad mengajar subjek Gerontologi, Alwardah percaya ini masanya untuk memperluas bidang berkenaan dalam pendidikan negara.
“Pembukaan lebih banyak aliran gerontologi di semua sekolah adalah langkah awal dalam menyediakan generasi muda menghadapi realiti negara semakin menua.

“Subjek ini bukan sahaja membekalkan ilmu penjagaan warga emas, malah menerapkan nilai empati, hormat dan tanggungjawab sosial dalam kalangan murid.
“Perluasan subjek ini perlu diberi keutamaan memandangkan Malaysia menjadi negara menua menjelang tahun 2030,” tegasnya.
