Ramai graduan muda sebenarnya sedang berhadapan dengan satu realiti yang jarang dibincangkan iaitu kejutan budaya atau culture shock dalam mengurus kewangan apabila melangkah ke alam pekerjaan. Foto: Canva. Gambar kecil: Amirul Salam
Ramai graduan muda sebenarnya sedang berhadapan dengan satu realiti yang jarang dibincangkan iaitu kejutan budaya atau culture shock dalam mengurus kewangan apabila melangkah ke alam pekerjaan. Foto: Canva. Gambar kecil: Amirul Salam

Gaji pertama bukan lesen berbelanja

FOMO, media sosial dan kejutan budaya yang menguji kebijaksanaan kewangan graduan muda

07 Jul 2026 01:36pm

Menerima gaji pertama merupakan antara detik paling bermakna dalam kehidupan seseorang graduan. Setelah bertahun-tahun menuntut ilmu, akhirnya mereka memperoleh hasil daripada usaha dan pengorbanan yang dilakukan. Bagi ramai anak muda, gaji pertama bukan sekadar pendapatan, tetapi simbol kebebasan, kejayaan dan permulaan fasa baharu kehidupan.

Namun, di sebalik keterujaan tersebut, ramai graduan muda sebenarnya sedang berhadapan dengan satu realiti yang jarang dibincangkan iaitu kejutan budaya atau culture shock dalam mengurus kewangan apabila melangkah ke alam pekerjaan.

Ketika bergelar mahasiswa, sebahagian besar keperluan asas masih ditanggung keluarga atau dibantu melalui biasiswa dan pinjaman pendidikan. Sebaik sahaja memasuki alam pekerjaan, mereka perlu mengurus sendiri pelbagai komitmen termasuk sewa rumah, pengangkutan, bil utiliti, pinjaman pendidikan, simpanan kecemasan dan keperluan harian.

Dalam masa yang sama, mereka turut berdepan tekanan sosial yang semakin mencabar akibat pengaruh media sosial. Paparan kehidupan yang kelihatan sempurna, percutian mewah, gajet terkini, kenderaan baharu dan fesyen berjenama mencetuskan fenomena Fear of Missing Out (FOMO) atau ketakutan untuk ketinggalan dalam kalangan generasi muda.

Tanpa disedari, ramai yang mula mengukur kejayaan berdasarkan apa yang dipaparkan di media sosial berbanding keadaan kewangan sebenar. Mereka mahu kelihatan berjaya sebaik sahaja memperoleh pekerjaan walaupun hakikatnya masih berada pada fasa awal membina kerjaya dan kestabilan kewangan.

Lebih membimbangkan, kemudahan transaksi digital hari ini menjadikan aktiviti perbelanjaan semakin mudah. Dengan hanya beberapa sentuhan pada telefon pintar, pelbagai pembelian boleh dilakukan tanpa menggunakan wang tunai. Kemudahan pembayaran digital dan skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) pula menjadikan ramai pengguna kurang menyedari jumlah sebenar komitmen yang sedang ditanggung.

Akibatnya, ada graduan yang baru beberapa bulan bekerja sudah berdepan masalah kewangan akibat perbelanjaan yang tidak terkawal. Sebahagian besar pendapatan digunakan untuk memenuhi kehendak gaya hidup berbanding membina simpanan atau merancang masa depan.

Menurut Ketua Program Sarjana Muda Kewangan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Siti Nurain Muhmad, ramai graduan muda menganggap memperoleh pekerjaan dan menerima gaji pertama sebagai tanda kebebasan kewangan, sedangkan hakikatnya ia merupakan permulaan kepada tanggungjawab kewangan yang lebih besar.

"Ramai anak muda membuat keputusan kewangan berdasarkan emosi dan pengaruh persekitaran. Mereka mahu memiliki gaya hidup yang dilihat di media sosial tanpa mengambil kira kemampuan sebenar. Jika keadaan ini tidak dikawal, ia boleh menjejaskan kestabilan kewangan mereka pada peringkat awal kerjaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, fenomena FOMO semakin memberi kesan kepada corak perbelanjaan generasi muda kerana mereka sentiasa terdedah kepada pelbagai bentuk kandungan yang mempengaruhi persepsi tentang kejayaan dan kebahagiaan.

Hakikatnya, kejayaan sebenar tidak diukur melalui jenama pakaian yang dipakai, model telefon pintar yang digunakan atau destinasi percutian yang dikunjungi. Sebaliknya, kejayaan diukur melalui kemampuan seseorang mengurus kewangan dengan baik, membina simpanan, mengawal hutang dan merancang masa depan secara bijaksana.

Menyedari cabaran tersebut, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa dan bakal graduan. Antaranya ialah program literasi kewangan dan integriti yang dianjurkan oleh UMT dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Program tersebut memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kepentingan pengurusan kewangan peribadi, simpanan jangka panjang, perancangan persaraan, pengurusan risiko dan integriti dalam membuat keputusan kewangan. Inisiatif seperti ini amat penting kerana ia menyediakan mahasiswa dengan kemahiran kehidupan sebenar yang bakal digunakan apabila memasuki pasaran pekerjaan.

Menurut Dr Siti Nurain, literasi kewangan tidak boleh dianggap sebagai ilmu tambahan semata-mata, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada persediaan asas setiap graduan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

"Pengetahuan kewangan yang baik membantu individu membuat keputusan yang lebih bijak, mengurus risiko dengan berkesan dan membina daya tahan kewangan dalam menghadapi cabaran ekonomi yang tidak menentu. Pada masa yang sama, nilai integriti perlu diterapkan supaya setiap keputusan kewangan dibuat secara bertanggungjawab dan beretika," katanya.

Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat dan ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan, kemampuan mengurus kewangan bukan lagi satu kelebihan, tetapi satu keperluan. Generasi muda perlu memahami bahawa gaji pertama bukan lesen untuk berbelanja tanpa batasan, sebaliknya peluang untuk membina asas kewangan yang kukuh bagi masa hadapan.

FOMO mungkin memberikan kepuasan sementara dan perhatian di media sosial, namun disiplin kewangan memberikan sesuatu yang jauh lebih bernilai iaitu ketenangan fikiran, kestabilan hidup dan kebebasan kewangan yang sebenar.

Masa depan kewangan seseorang tidak ditentukan oleh berapa banyak yang dibelanjakan pada hari ini, tetapi oleh kebijaksanaan dalam mengurus setiap ringgit yang diperoleh.

Justeru, usaha memperkukuh literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa dan graduan perlu terus diperkasa agar mereka bukan sahaja berjaya memperoleh pekerjaan, malah mampu membina kehidupan yang lebih mampan, sejahtera dan berdaya tahan pada masa hadapan.

Maklumat penulis:

Pegawai Perhubungan Awam, Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Terengganu, Amirul Salam Hasan

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan