
MSU tampil pendekatan holistik pulih kesihatan mental
Pemulihan penyakit mental tidak sepatutnya bergantung kepada ubat-ubatan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan lebih menyeluruh yang menggabungkan senaman fizikal, latihan kognitif dan elemen kerohanian.
Pakar Perunding Psikiatri serta Pembangun Program Cognitive Remediation Therapy (CRT), International Medical School, Management and Science University (MSU), Profesor Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi berkata, pengalaman merawat pesakit daripada pelbagai latar belakang menunjukkan gabungan ketiga-tiga komponen itu mampu memberikan pemulihan yang lebih stabil dan berkekalan.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan bukan sahaja disokong bukti saintifik, malah selari dengan konsep keseimbangan dalam Islam yang menitikberatkan penjagaan tubuh, akal dan jiwa secara menyeluruh.
Dalam perkongsian bersama Sinar Bestari, senaman fizikal merupakan antara intervensi mudah yang memberi kesan positif kepada fungsi otak melalui peningkatan penghasilan Brain-Derived Neurotrophic Factor (BDNF), pengurangan keradangan sistemik, peningkatan aliran darah serebrum serta penstabilan neurotransmiter seperti serotonin dan dopamin.
"Pesakit yang mengamalkan aktiviti fizikal sederhana seperti berjalan pantas selama 20 hingga 30 minit setiap hari lazimnya menunjukkan peningkatan mood, tidur yang lebih berkualiti serta motivasi yang lebih baik. Pendekatan ini turut diiktiraf dalam garis panduan antarabangsa sebagai rawatan tambahan bagi kemurungan dan kebimbangan," katanya.
Selain aspek fizikal, beliau berkata, ramai pesakit turut mengalami gangguan kognitif seperti masalah tumpuan, ingatan, kelajuan pemprosesan maklumat dan fungsi eksekutif walaupun simptom utama penyakit mental telah berkurangan.
Jelas beliau, keadaan itu boleh ditangani menerusi Cognitive Remediation Therapy (CRT) iaitu intervensi berstruktur yang menggabungkan latihan kognitif intensif, strategi metakognitif serta pemindahan kemahiran ke situasi kehidupan sebenar.
Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam pembangunan modul CRT berkomputer di Malaysia, beliau melihat terapi itu berjaya meningkatkan keupayaan merancang, mengukuhkan daya ingatan kerja, memperbaiki kemahiran menyelesaikan masalah serta membantu pesakit kembali belajar atau bekerja.
"Di MSU Medical Centre, kami menggunakan perisian yang membolehkan rawatan disesuaikan mengikut profil kognitif setiap pesakit bagi memastikan intervensi lebih berkesan," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa latihan kognitif bukan hanya bermanfaat kepada pesakit kesihatan mental, malah boleh dimanfaatkan oleh individu sihat untuk meningkatkan fungsi kognitif melalui aplikasi atau perisian latihan minda yang digunakan secara konsisten dan terkawal.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Najib berkata, elemen kerohanian turut diiktiraf dalam rawatan psikiatri moden sebagai faktor pelindung yang membantu pesakit mengurus tekanan, menstabilkan emosi dan membina daya tahan diri.
Beliau menggalakkan pesakit mengekalkan rutin ibadah asas, mengamalkan teknik pernafasan sambil berzikir serta menjadikan doa sebagai mekanisme menenangkan diri kerana amalan tersebut mampu memberi ketenangan dan membantu menstabilkan sistem saraf parasimpatetik.
Menurutnya, apabila senaman fizikal, latihan kognitif dan kerohanian digabungkan, kesannya lebih konsisten berbanding jika dilaksanakan secara berasingan kerana ia mampu meningkatkan neuroplastisiti, mempercepat pemulihan fungsi kognitif, mengurangkan simptom negatif seperti apati dan kurang motivasi serta memperkukuhkan daya tahan psikologi.
Beliau berkata, pendekatan holistik seperti itu juga dilihat praktikal, kos efektif dan bersesuaian dengan konteks budaya masyarakat Malaysia yang semakin berdepan peningkatan isu kesihatan mental.
Sehubungan itu, beliau berpandangan institusi pendidikan tinggi seperti MSU memainkan peranan penting dalam memperluaskan penyelidikan, latihan profesional serta pembangunan inovasi rawatan termasuk modul CRT bagi menyokong usaha meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan mental di negara ini.
Pendapat asal oleh:
Pakar Perunding Psikiatri & Pembangun Program Cognitive Remediation Therapy (CRT), International Medical School MSU, Profesor Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi