
Baru 15 tahun, Ara Aziz sudah bergelar mahasiswa! 'Saya nak jadi pakar bedah otak'
Usia sering dianggap sebagai batas dalam mengejar kejayaan. Namun, kisah Puteri Nur Azzahra atau lebih dikenali sebagai Ara Aziz membuktikan bahawa dengan kesungguhan, minat dan usaha berterusan, seseorang mampu melangkah lebih jauh tanpa mengira usia.
Anak kepada pengarah terkenal, Aziz M Osman dan penerbit, Puteri Lily Lokman itu mencuri perhatian apabila berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat institusi pengajian tinggi pada usia seawal 15 tahun.
Berdasarkan perkongsian di media sosial, Ara kini memulakan pengajian peringkat asasi di Manipal University College Malaysia (MUCM), sekali gus menjadi antara pelajar termuda yang menjejakkan kaki ke menara gading.
Selepas menamatkan peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) pada tahun lalu, Ara meluahkan rasa syukur dan teruja apabila memulakan fasa baharu sebagai seorang pelajar universiti.
"Hari penuh emosi (sentimental) yang takkan pernah saya lupakan. Melangkah masuk ke MUCM sebagai salah seorang pelajar termuda adalah sesuatu yang mengujakan sekali gus merendah diri.
"Setiap perjalanan yang hebat bermula dengan satu langkah dan hari ini, perjalanan saya bermula," tulisnya di Instagram.
Sementara itu, Puteri Lily berkata, Ara memilih bidang sains kerana minat tersebut telah dipupuk sejak kecil lagi.
Malah, anaknya itu menyimpan impian untuk mendalami bidang neurologi, khususnya berkaitan dengan otak manusia yang menjadi antara perkara paling menarik perhatiannya sejak kecil.
Menurut Puteri Lily, minat Ara terhadap bidang tersebut bukan muncul secara tiba-tiba, sebaliknya bermula daripada rasa ingin tahu yang mendalam tentang bagaimana manusia boleh mempunyai pemikiran dan cara bertindak yang berbeza walaupun memiliki struktur otak yang sama.
"Disebabkan itulah dia sememangnya bercita-cita untuk menjadi pakar bedah otak. Katanya, ciptaan ALLAH ini sangat menarik, bentuk otak adalah sama, tetapi bagaimanakah corak pemikiran boleh berbeza-beza?," kongsi Puteri Lily.
Sebagai seorang ibu, Puteri Lily berharap Ara dapat menikmati setiap proses pembelajaran sepanjang berada di universiti dan tidak terlalu mengejar kesempurnaan.