
Realiti pahit di sebalik penipuan pembelian secara e-Dagang
Hanya satu klik, barang sampai di hadapan rumah. Dalam era serba moden dan canggih ini apa sahaja barang yang diperlukan boleh didapati dengan sangat mudah. Klik dan klik, apabila selesai pilih, bayar hanya di hujung jari.
Berbeza dengan era 80-an dan 90-an membeli-belah sudah semestinya melalui cara biasa yang memerlukan seseorang pergi ke kedai atau pusat membeli-belah akan tetapi seiring dengan era kini di mana kemudahan internet mudah di akses, kemunculan aplikasi beli-belah secara dalam talian atau e-Dagang mula berkembang pesat. e-Dagang bukanlah lagi suatu perkataan asing. e-Dagang merupakan satu platform yang sangat popular pada masa kini.
Kemunculan e-Dagang di Malaysia bermula pada pertengahan tahun 2000 dan agak lambat berbanding negara Asia Tenggara yang lain. Walaubagaimanapun, penggunaan e-Dagang mula berkembang dengan pesat pada tahun 2017. Penggunaan e-Dagang juga semakin meningkat apabila negara menghadapi Covid-19 pada tahun 2020.
Penggunaan e-Dagang pada masa itu dikatakan mendapat tempat kerana fenomena Lockdown. Terdapat pelbagai aplikasi e-Dagang yang mendapat tempat dalam hati rakyat Malaysia seperti Mudah, LAZADA, Shopee, Tiktok shop, Temu, dan yang terkini mula mendapat perhatian ialah Pinduoduo.
Kemudahan membeli-belah di hujung jari oleh aplikasi-aplikasi ini menyebabkan semakin ramai rakyat Malaysia mula beralih kepada pembelian secara e-Dagang. Platform e-Dagang bukan sahaja memudahkan pengguna untuk membeli barang yang dikehendaki dengan mudah di hujung jari tetapi platform ini juga menawarkan kemudahan pembelian secara terus daripada pembekal dengan harga yang jauh lebih murah berbanding pembelian dari orang tengah.
Hal ini juga menyebabkan semakin ramai pengguna tertarik dengan pembelian secara e-Dagang. Namun, di sebalik kemudahan ini, muncul juga beberapa masalah yang dikenalpasti. Antaranya, terdapat pembelian yang tidak sama seperti deskripsi spesifikasi yang diletakkan oleh penjual e-Dagang. Contoh yang dapat dilihat ialah pembelian baju dan seluar daripada platform dalam talian.
Sering kali pembeli tertipu dengan ukuran yang diberikan oleh pihak penjual. Ukuran tidak sama dengan saiz sebenar menyebabkan pembelian itu terpaksa di tukar semula dan mendapat bayaran balik (return and refund).
Terdapat juga pembeli yang ditipu oleh penjual yang menawarkan pembelian barangan dengan harga yang terlalu murah dan tidak masuk akal. Kebiasaannya penjual ini bukanlah penjual sebenar mereka hanyalah penipu (scammer) mengambil gambar dan video produk dari penjual sebenar dan mengiklankan gambar tersebut sebagai produk mereka.
Mangsa yang sering terperangkap adalah mereka yang terlibat dengan fenomena psikologi FOMO (Fear of Missing Out) yang terkenal dalam kalangan remaja masa kini.
Apabila ditawarkan iPhone atau Telefon Android koleksi terbaru misalnya dengan harga yang murah, disebabkan kekurangan duit mereka akan mudah tertarik dengan tawaran tersebut. Hal ini kerana, mereka mempunyai sifat ingin memiliki yang tinggi dan takut untuk menjadi ketinggalan. Akhirnya mereka terjerat dalam penipuan ini.
Bagaimana boleh terlibat dengan penipuan ini?
Sudah tentu scammer yang licik ini menggunakan ulasan rekaan palsu kerana scammer ini bukan bergerak sendiri tetapi dalam satu kumpulan dan ahli kumpulan scammer ini sudah tentu akan membantu dengan membuat ulasan palsu supaya mangsa akan mudah tertarik dengan tawaran tersebut.
Scammer ini juga akan mendesak supaya pembayaran dibuat dengan kadar segera dan memujuk mangsa untuk melakukan pembayaran luar dari platform e-Dagang dan berhubung dengan menggunakan Whatsapp dengan alasan untuk mengelakkan cukai platform e-Dagang.
Scammer juga memberi desakan kepada mangsa seperti contoh, ‘ada orang lain juga berminat nak beli barang ini’ atau alasan lain ‘hanya tinggal satu sahaja lagi selepas ini promosi akan tamat dan tidak dapat lagi harga ini’, menyebabkan mangsa rasa perlu untuk memiliki memandangkan harga yang murah daripada pasaran dan membuat pembayaran segera.
Malangnya, sebaik sahaja pembayaran dilakukan, barang yang di pos apabila sampai sahaja pada tangan mangsa didapati barang tersebut hanya sampah atau erti lain kotak kosong yang mungkin diletakkan batu atau barang lain yang murah. Mangsa juga tidak lagi akan dihubungi oleh scammer dan di halang (block) daripada aplikasi Whatsapp tersebut.
Lalu, apa yang akan terjadi? Sudah tentu mangsa rasa tertipu, barang yang dikehendaki tidak dapat, duit yang dikumpul dengan jerih perih juga hilang sekelip mata. Mangsa akan mula mengalami perubahan emosi sedih, kecewa, mula menyalahkan diri sendiri (self-blame), rasa menyesal dan akan mula berkata kalaulah masa boleh diputar kembali, sudah tentu mangsa akan memilih untuk membeli barangan tersebut di dalam platform dan bukannya di luar platform.
Jadi sebagai pengguna platform e-Dagang, apa yang patut kita lakukan untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa? Pertama, jangan sesekali kita membuat perjanjian pembelian di luar platform e-Dagang.
Hal ini kerana, jika pembelian dilakukan di luar platform, sudah tentu sukar untuk kita mendapatkan kembali duit tersebut. Kedua, sila baca semua ulasan yang ditinggalkan dalam platform tersebut dan buatlah keputusan yang bijak sebelum pembelian dilakukan. Mesti selalu rasa was-was untuk membuat pembelian dengan harga yang tidak masuk akal. Fikirkan secara logik macam mana penjual tersebut boleh jual dengan harga yang terlalu murah daripada pasaran.
Sudah tentu penjual mahukan keuntungan, jika dijual dengan harga tak masuk akal, penjual tersebut mengalami kerugian. Ingatlah, sebagai pengguna tiada penjual yang inginkan kerugian.
Kita harus berfikir dengan bijak sebelum membuat pembelian terutamanya untuk barangan yang harganya terlalu murah tidak masuk akal, nak untung membeli harga yang murah tetapi akhirnya sangat rugi seperti peribahasa sayang garam sececah, busuk kerbau seekor.
Maklumat penulis
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP), Kementerian Pendidikan Malaysia yang juga merupakan pelajar Sarjana Pendidikan dalam Teknologi Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Izzati Nur Md Dom