Kejayaan Shah Faheem Zikry membuktikan bahawa anak Malaysia mampu melakar kecemerlangan apabila bakat dipupuk, ilmu dijadikan teman dan usaha tidak pernah berhenti.
Kejayaan Shah Faheem Zikry membuktikan bahawa anak Malaysia mampu melakar kecemerlangan apabila bakat dipupuk, ilmu dijadikan teman dan usaha tidak pernah berhenti.

Petah berhujah, cemerlang akademik! Shah Faheem Zikry kejar impian jadi Ketua Hakim Negara

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
27 Jul 2026 03:29pm

Dunia pengucapan awam bukanlah semudah melafazkan kata-kata di hadapan khalayak.

Ia menuntut keberanian untuk berdiri di pentas, keyakinan menyampaikan idea, kebijaksanaan berhujah serta kemahiran berkomunikasi yang mampu mempengaruhi pemikiran pendengar.

Lebih mencabar, bidang ini merangkumi pelbagai cabang seperti debat, bahas, pidato, syarahan, pengacaraan majlis dan deklamasi sajak yang masing-masing memerlukan teknik penyampaian berbeza.

Namun bagi pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18(1), Shah Faheem Zikry Shah Abu Zar, 15, semua cabaran itu menjadi ruang untuk mengembangkan bakat yang dipupuk sejak kecil.

Usahanya membuahkan hasil apabila beliau baru-baru ini dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan dalam Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2026.

Di sebalik kejayaan itu, tersimpan perjalanan panjang yang bermula ketika usianya baru lapan tahun.

"Saya mula menceburi bidang pengucapan awam pada tahun 2019 melalui Pertandingan Bercerita peringkat negeri.

"Daripada situ, saya mula menyertai pelbagai pertandingan seperti pidato, sajak, pantun, debat dan turut diberi peluang menjadi pengacara majlis.

"Setiap penyertaan memberi pengalaman baharu dan membantu saya membina keyakinan diri, memperbaiki cara berkomunikasi serta mengembangkan bakat yang saya minati," katanya ketika ditemu bual Sinar Bestari baru-baru ini. 

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Sokongan ibu bapa jadi kekuatan

Anak kelahiran Johor itu mengakui kejayaan yang dikecapinya hari ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan kedua-dua ibu bapanya, Shah Abu Zar Taib dan Feezuha Md Haris.

Mereka bukan sahaja memberi dorongan moral, malah sentiasa menggalakkan beliau menyertai pertandingan yang mampu mengasah potensi diri, sambil mengingatkan agar tidak mengabaikan pelajaran.

"Mereka sentiasa memberi semangat dan percaya dengan kemampuan saya. Walaupun saya sibuk dengan latihan dan pertandingan, mereka sentiasa mengingatkan supaya memberi tumpuan kepada akademik.

"Alhamdulillah, saya masih dapat mengekalkan prestasi yang baik terutama dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam dan Sains," katanya yang menjadikan Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebagai tokoh inspirasi kerana ketokohan, keluasan ilmu dan pemikirannya yang mendalam.

Di sebalik kepetahan berhujah, Shah Faheem Zikry sebenarnya seorang pencinta buku.

Beliau aktif dalam program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) sehingga berjaya dinobatkan sebagai Johan Anugerah NILAM Kebangsaan 2023.

Terbaharu, beliau muncul Johan Pembaca Bestari Wilayah Persekutuan Putrajaya 2026 dan bakal mewakili wilayah itu ke peringkat kebangsaan. Malah, anak muda ini turut diberi kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai Ikon Pusat Sumber SMK Putrajaya Presint 18(1).

Menurutnya, minat membaca telah diterapkan oleh ibu bapanya sejak kecil.

Selain itu, dua orang guru ketika di Sekolah Kebangsaan (SK) Medini, Iskandar Puteri, Johor iaitu Cikgu Nor Amaliena Faudzi dan Cikgu Muhammad Afiq Ibrahim turut memainkan peranan besar dalam menyemai budaya membaca.

"Saya gemar membaca buku bukan fiksyen dan karya-karya agung. Antara buku kegemaran saya ialah Sungai Mengalir Lesu dan Bendera di Atas Bukit karya Sasterawan Negara, A Samad Said.

"Sehingga hari ini saya telah membaca lebih 1,000 buah buku sejak di bangku sekolah rendah. Resensi buku Bendera di Atas Bukit menjadi antara faktor yang membawa saya merangkul Anugerah NILAM Kebangsaan 2023," katanya.

No Image Caption

Impian besar di sebalik usia muda

Walaupun baru berusia 15 tahun, Shah Faheem Zikry sudah mempunyai cita-cita yang jelas.

Beliau memasang impian untuk suatu hari nanti bergelar Ketua Hakim Negara, sekali gus menyumbang kepada sistem keadilan negara.

"Saya ingin terus mengembangkan potensi diri dalam setiap bidang yang saya ceburi.

"Saya mahu memperkukuh kemahiran berfikir secara kritis, meningkatkan keyakinan berkomunikasi dan menjadi pemimpin yang mampu memberi inspirasi serta membawa manfaat kepada masyarakat," ujarnya.

Mengakhiri perbualan, Shah Faheem Zikry menitipkan pesanan kepada rakan-rakan seusia yang ingin mencuba bidang debat dan pengucapan awam.

Baginya, setiap individu mempunyai potensi, cuma keberanian untuk memulakan langkah pertama sering menjadi cabaran terbesar.

No Image Caption

"Jangan takut untuk mengambil langkah pertama. Saya juga pernah berada pada fasa membina keyakinan, memperbaiki kelemahan dan belajar daripada setiap kesilapan.

"Setiap pentas yang kita jejaki bukan sekadar tempat untuk mengejar kemenangan, tetapi ruang untuk membentuk diri menjadi lebih berilmu, matang dan berkeyakinan.

"Nilai seorang pemimpin bukan hanya diukur melalui kepetahan berbicara, tetapi pada ketinggian adab, keluasan ilmu dan sejauh mana kata-katanya mampu memberi inspirasi kepada orang lain.

"Generasi muda hari ini bukan sekadar pewaris masa depan, sebaliknya pencipta masa depan. Dengan ilmu, pemikiran kritis dan keberanian untuk berinovasi, kita mampu bersaing dalam dunia tanpa sempadan," ujarnya.

INFO

Latar belakang pendidikan:

  • Sekolah Rendah Setiabudi, IIUM (2018 - 2019)
  • SK Medini (2019 - 2023)
  • SMK Sultan Ismail, Johor Bahru (2024-2025)
  • SMK Putrajaya Presint 18(1), Putrajaya (kini) 

Anugerah/ Pencapaian (2026)

  • Johan Pertandingan Pembaca Bestari peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2026
  • Naib Johan Keseluruhan Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya 2026
  • Pendebat Terbaik Keseluruhan Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan WP Putrajaya 2026
  • Pendebat Terbaik 6 Sidang Berturut-turut Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya 2026
  • Mewakili Putrajaya dalam Kejohanan Golf MSSM 2026 (U15)
  • Naib Johan Kejohanan Golf MSSWPP 2026 kategori Bawah 15 Tahun
  • Ikon Pusat Sumber SMK Putrajaya Presint 18(1)

No Image Caption

2025

  • Johan Pertandingan Mimbar Daie (Lelaki), Ihtifal Lughawi Sekolah - Sekolah (ILSS), Karnival Program Adab dan Nilai (PADNI) Sekolah -Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Daerah Johor Bahru 2025
  • Peserta Mimbar Daie (Lelaki), Ihtifal Lughawi Sekolah-Sekolah (ILSS), Karnival Program Adab dan Nilai (PADNI) Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Negeri Johor Bahru 2025
  • Peserta Duta Advokasi Hak Kanak-Kanak MPKK Negeri Johor 2025
  • Tempat Ke-3 Pertandingan Bahas Piala Ahli Parlimen Johor Bahru 2025
  • Anugerah Pembahas Berpotensi Keseluruhan Pertandingan Bahas Piala Ahli Parlimen Johor Bahru 2025
  • Pembahas Terbaik 5 Sidang Berturut-turut Pertandingan Bahas Piala Ahli Parlimen Johor Bahru 2025
  • Pertandingan Pidato Piala Diraja Daerah Johor Bahru 2025
  • Peserta Palm Resort Junior Open Golf Championship 2025 (U15)
  • Penerima Anugerah Rambu Pengakap Muda Anugerah Ketua Pengakap Negara
  • Peserta Kejohanan MSSD Golf Peringkat Daerah Johor Bahru 2025 (U15)
  • Duta Sahsiah Pembangunan Karakter Karamah Insaniah SMK Sultan Ismail, Johor Bahru 2025
  • Yang Dipertua Speaker Dewan bagi Pertandingan Debat Daksina antara Institut Pendidikan Tinggi Zon Selatan 2025
  • Ikon Pemimpin Inspirasi SMK Sultan Ismail, Johor Bahru

2023

  • Johan Anugerah NILAM Kebangsaan 2023 kategori Sekolah Rendah Bahasa Melayu
  • Anugerah Tokoh Murid SK Medini 2023
  • Anugerah Tokoh Kepimpinan SK Medini 2023
  • Anugerah Tokoh NILAM SK Medini 2023
  • Presiden Students' Leaders Board SK Medini 2023
  • Pengerusi Students' Voice Group SK Medini 2023
  • Johan Pengucapan Awam Students' Leaders Board Johor Bahru 2023
  • Ketiga Pesta Pantun Daerah Johor Bahru 2023
  • Pemantun Terbaik Johor Bahru 2023
  • Naib Johan Pertandingan Sajak FKSS Negeri Johor 2023
  • Pertandingan Pidato Piala Di-Raja 2023
  • Peserta Terbaik Students' Leaders Board Thinkers Negeri Johor 2023

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp