Program memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik komunikasi berkesan, pengucapan awam yang berimpak serta asas pengacaraan majlis bagi membantu membina keyakinan diri dan keterampilan mereka sebagai pemimpin masa depan.
Program memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik komunikasi berkesan, pengucapan awam yang berimpak serta asas pengacaraan majlis bagi membantu membina keyakinan diri dan keterampilan mereka sebagai pemimpin masa depan.

80 pelajar SMK Seri Serdang asah bakat pengucapan awam bersama UPM

10 Jul 2026 03:35pm

Seramai 80 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang, Selangor berpeluang memperkukuh kemahiran komunikasi menerusi Bengkel Kemahiran Pengucapan Awam dan Pengacaraan Majlis yang dianjurkan Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.

Program yang berlangsung sehari itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik komunikasi berkesan, pengucapan awam yang berimpak serta asas pengacaraan majlis bagi membantu membina keyakinan diri dan keterampilan mereka sebagai pemimpin masa depan.

Selain sesi teori, peserta turut mengikuti pelbagai latihan praktikal yang membolehkan mereka mengaplikasikan teknik pengucapan awam dan pengacaraan dalam suasana interaktif serta menyeronokkan.

No Image Caption

Pelajar Tingkatan Tiga, Azzalia Sofia Aziz Khan berkata, bengkel tersebut memberi banyak manfaat terutama dalam membantu dirinya mengatasi perasaan gemuruh ketika berucap di hadapan khalayak.

"Saya belajar beberapa teknik untuk mengawal rasa gementar dan menyampaikan ucapan dengan lebih yakin. Kemahiran ini sangat penting bukan sahaja untuk pertandingan debat tetapi juga pembentangan akademik serta persediaan menghadapi alam pekerjaan pada masa hadapan," katanya.

Rakannya, Aajay S Suresh pula menyifatkan peluang mengikuti bengkel di sebuah universiti penyelidikan terkemuka sebagai pengalaman yang amat bermakna.

"Saya mempelajari teknik komunikasi yang betul serta cara menyusun idea sebelum bercakap. Pengalaman ini membantu saya meningkatkan keyakinan diri dan memberi motivasi untuk terus memperbaiki kemahiran berkomunikasi," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Sementara itu, Guru Penyelaras Pusat Sumber SMK Seri Serdang, Cikgu Zurita Yeh berkata, program tersebut merupakan jalinan strategik yang memberi nilai tambah kepada pembangunan pelajar di luar bilik darjah.

"Bengkel ini membuka peluang kepada mereka untuk belajar secara langsung daripada pakar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang komunikasi dan pengucapan awam.

"Dengan reputasi serta kewibawaan UPM, saya percaya pendedahan seperti ini mampu memberi impak positif kepada murid serta membantu mereka berkomunikasi dengan lebih berkesan," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM, Noor Mohamad Shakil Hameed berkata, kemahiran komunikasi kini menjadi antara kompetensi penting yang perlu dikuasai generasi muda bagi menghadapi cabaran pendidikan dan dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

No Image Caption

"Pengucapan awam bukan sekadar kemahiran bercakap di hadapan khalayak, tetapi turut melibatkan keupayaan menyampaikan idea dengan jelas, berfikir secara kritis dan membina keyakinan diri.

"Melalui bengkel ini, UPM berkongsi kepakaran universiti dengan komuniti setempat bagi membantu melahirkan generasi yang lebih berani, berketerampilan dan berdaya saing," katanya.

No Image Caption

Program anjuran Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM itu turut menjadi sebahagian daripada pengisian Bulan Sinergi Putra yang menggalakkan perkongsian ilmu, kerjasama strategik serta usaha memperluas keterlihatan kepakaran universiti demi manfaat masyarakat.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp