SEGAK... Pasukan GEMAWAN KISAS bergambar sebelum memulakan persembahan.
SEGAK... Pasukan GEMAWAN KISAS bergambar sebelum memulakan persembahan.

Harmoni membina insani

Seni gamelan membina fokus, disiplin dan semangat berpasukan pelajar

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
03 Aug 2026 01:41pm

Bunyi gamelan yang harmoni ini bukan terhasil daripada kehebatan seorang pemain, sebaliknya lahir daripada keserasian seluruh pasukan.

Guru Penyelaras Pasukan Gema Gamelan Waqafan (GEMAWAN) Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Zamri Shah Ibarahim berkata, setiap paluan ada peranan, rentak saling melengkapi dan pemainnya pula memikul tanggungjawab yang sama penting.

Itulah keunikan seni gamelan yang bukan sahaja mengajar teknik bermain alat muzik tradisional, malah membentuk kemahiran insaniah yang sukar dipelajari melalui teori semata-mata.

“Dalam permainan gamelan, setiap instrumen memainkan fungsi yang berbeza bagi melengkapkan alunan muzik Melayu.

“Gong, bonang, saron, kenong, gambang dan gendang masing-masing menghasilkan bunyi tersendiri yang hanya akan kedengaran sempurna apabila dimainkan secara berpasukan. Jika seorang pemain tersilap tempo atau terlepas isyarat, keseluruhan persembahan boleh terjejas,” katanya.

Zamri Shah (kanan) menghadiri salah satu persembahan.
Zamri Shah (kanan) menghadiri salah satu persembahan.

Keadaan itulah yang menjadikan setiap sesi latihan medan terbaik untuk membentuk fokus, ketelitian dan semangat kerjasama dalam kalangan murid.

Ujar Zamri Shah, mereka bukan sahaja perlu menguasai alat muzik sendiri, malah perlu peka terhadap rentak rakan sepasukan serta arahan ketua bagi memastikan setiap paluan bergerak seiring.

Artikel Berkaitan:

“Melalui latihan yang konsisten, murid-murid belajar bahawa kejayaan sesebuah persembahan bukan bergantung kepada individu, tetapi hasil kerjasama seluruh pasukan.

“Nilai inilah yang menjadikan gamelan lebih daripada sekadar seni persembahan, sebaliknya platform membina disiplin, komunikasi dan tanggungjawab yang mampu diaplikasikan dalam pembelajaran serta kehidupan seharian,” katanya lagi.

Gong, bonang, saron, kenong, gambang dan gendang masing-masing menghasilkan bunyi tersendiri yang hanya akan kedengaran sempurna apabila dimainkan secara berpasukan.
Gong, bonang, saron, kenong, gambang dan gendang masing-masing menghasilkan bunyi tersendiri yang hanya akan kedengaran sempurna apabila dimainkan secara berpasukan.

Pendiam ke pentas antarabangsa

Bagi sesetengah murid, gamelan bukan sekadar aktiviti kokurikulum, ia menjadi titik perubahan dalam membina keyakinan diri.

Zamri Shah berkata lagi, ramai murid yang pada awalnya pendiam, gemar menyendiri dan kurang berani di hadapan khalayak akhirnya berubah selepas mengikuti latihan serta persembahan.

Menurutnya, melalui latihan yang konsisten dan semangat kerja berpasukan, pelajar ini mula yakin berinteraksi dengan rakan dan mampu membuat persembahan di hadapan orang ramai.

“Apa yang saya bangga adalah ada di antara mereka beraksi di pentas antarabangsa. Ia bukti alat muzik tradisional adalah salah satu medium membentuk sahsiah dan potensi pelajar,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp