
Lindung Kasih: Sehari menimba ilmu, berkongsi inspirasi
Sehari bersama Lindung Kasih bukan sekadar tentang perlindungan, tetapi turut membuka ruang buat 30 guru wanita berkongsi cerita, menimba ilmu dan menemukan semula kekuatan diri.
Berlangsung di Ekues Cabin Cafe, Putrajaya, program anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu menghimpunkan guru dari Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan menerusi pelbagai pengisian santai yang sarat dengan ilmu, inspirasi dan pengalaman.
Lindung Kasih merupakan skim perlindungan sosial berharga RM120 setahun untuk suri rumah dan wanita semasa menguruskan rumah tangga serta keuzuran.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti disediakan bukan sahaja menghiburkan, malah sarat dengan perkongsian, ilmu dan memberi inspirasi.

Peserta berpeluang menyertai pelbagai pengisian yang dirancang bagi mencipta pengalaman bermakna, di samping membuka ruang untuk mereka berinteraksi, berkongsi cerita dan membina keyakinan.
Antara pengisiannya adalah audio siar Bual Bestari yang mengetengahkan sesi borak santai bersama hos, Anim Ezzati dan panelnya iaitu Pengurus Pejabat Perkeso Putrajaya, Norliza Noordin serta wakil orang berinsurans, Azlina Sagir.
Perkongsian yang berlangsung dalam suasana santai dan penuh keakraban itu turut membuka ruang kepada peserta untuk mendengar kisah serta pengalaman Azlina menyara anaknya yang menghidap penyakit kronik sehingga tidak mampu bangun dan bergerak.
Tidak kurang menarik, program turut diserikan dengan Talk Empowerment’s daripada Pakar Pembangunan Wanita, Dr Suffia Hany bagi memberik suntikan semangat dan motivasi kepada peserta untuk lebih mengenali potensi diri masing-masing.

Bukan itu sahaja, guru-guru turut bergelak tawa menyertai sesi ‘grooming’ bersama Wardah.
Sesi berkenaan memberi pendedahan mengenai penjagaan diri dan penampilan, selain membantu peserta tampil lebih yakin dalam kehidupan seharian.

Suasana di Ekues Cabin Cafe pula menambahkan lagi kemeriahan program apabila para peserta dapat menikmati pengisian dalam persekitaran yang santai dan selesa.
Lebih daripada sekadar sebuah program, Lindung Kasih menjadi platform untuk guru-guru belajar, berkongsi dan membina keyakinan dalam suasana yang dekat dengan mereka.
