
Beri kesedaran untuk lebih bersedia
Setiap wanita khususnya guru-guru yang perlu menguruskan rumah tangga mahupun yang berada di sekolah, soal perlindungan mungkin bukan perkara pertama yang difikirkan.
Bagaimanapun, Guru Sekolah Rendah Integrasi Al Amin, Nordina Sarip berkata, selepas mengikuti program Lindung Kasih, perspektif itu mula berubah apabila menyedari risiko boleh berlaku tanpa diduga.
“Saya bersyukur kerana mendapat banyak ilmu berkaitan PERKESO. Insya-ALLAH, ilmu yang diperoleh boleh diaplikasikan sekiranya kita memerlukan bantuan pada masa akan datang,” ujarnya.
Kongsi Nordina, Lindung Kasih merupakan satu inisiatif yang sangat bermanfaat, khususnya kepada wanita yang menjalankan tanggungjawab menguruskan rumah tangga.

“Saya sendiri belum mempunyai skim perlindungan seperti ini. Selepas mengetahui manfaatnya, saya rasa ia sangat bagus untuk kita pertimbangkan bagi melindungi diri,” katanya lagi.
Lebih daripada sekadar ilmu, Nordina turut berhasrat untuk berkongsi maklumat itu bersama rakan-rakan guru di sekolah supaya lebih ramai wanita mengetahui kepentingan perlindungan sosial.
“Semestinya saya akan berkongsi ilmu yang diperoleh dalam program Lindung Kasih ini kerana mempunyai banyak kebaikan untuk kami,” ujarnya.
