Lim Hui Ying (duduk, tengah) bersama para peserta Program Toleransi Sifar Keganasan: Respect the Boundaries di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempaun) Al-Mashoor pada Rabu.
Lim Hui Ying (duduk, tengah) bersama para peserta Program Toleransi Sifar Keganasan: Respect the Boundaries di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempaun) Al-Mashoor pada Rabu.

Guru, kaunselor diseru wujud ekosistem sekolah selamat untuk pelajar bersuara

01 Oct 2026 10:04am

Pihak sekolah, khususnya warga pendidik serta guru bimbingan dan kaunseling, diseru agar terus memainkan peranan aktif dalam mewujudkan suasana persekitaran yang membolehkan pelajar berasa selamat untuk bersuara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, keyakinan pelajar bahawa kebimbangan mereka akan dikendalikan dengan penuh empati serta serius adalah kunci utama kepada pembentukan sekolah yang selamat dan dipercayai.

"Apabila pelajar yakin bahawa suara mereka akan didengar dan kebimbangan mereka akan dikendalikan dengan baik, sekolah akan menjadi ruang yang lebih selamat, lebih dipercayai dan lebih prihatin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan: Respect the Boundaries di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al Mashoor, Pulau Pinang. 

Mengulas lanjut, Lim berkata, fasa persekolahan adalah tempoh yang penuh dengan cabaran dan pendedahan baharu seperti tekanan pembelajaran, hubungan persahabatan, keluarga mahupun cabaran media sosial.

Sehubungan itu, beliau berharap mesej kesedaran berkaitan batas diri dan perlindungan tidak berakhir selepas program selesai sebaliknya dibawa ke bilik darjah, rumah serta dalam pergaulan komuniti.

Lim berkata, pihak kementerian menyediakan pelbagai saluran bantuan seperti Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam sehari, talian WhatsApp 019-261 5999 serta akses ke Tribunal bagi Antigangguan Seksual menerusi sistem e-TAGS.

Sementara itu, bagi menjamin keselamatan pelajar dan warga sekolah, Lim yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM95,000 bagi pemasangan 75 kamera litar tertutup (CCTV) di tiga sekolah menengah di kawasan Parlimen berkenaan.

Beliau berkata, dua sekolah di kawasan berkenaan telah memiliki CCTV yang memenuhi garis panduan Kementerian Pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, sekarang saya sudah pastikan kelima-lima sekolah menengah ini semua lengkap dengan CCTV yang berfungsi," katanya. - Bernama

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp