
Anak masih ke sekolah ketika jerebu? Ini penjelasan Menteri Pendidikan
Jerebu bukan sekadar menjejaskan kualiti udara, malah turut mencetuskan kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak yang masih perlu hadir ke sekolah.
Ketika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menjadi perhatian, ramai tertanya-tanya tentang langkah yang diambil bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid terus terpelihara.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, turut memberikan penjelasan berhubung kebimbangan tersebut menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Apakah yang beliau jelaskan? Jom ikuti perkongsian ini.
*****
Saya baca ramai yang tanya, kenapa sebelum ini sekolah ditutup bila IPU masih rendah, sekarang kena tunggu sampai 200 pula?
Apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kebimbangan tentang keadaan jerebu, sudah tentu kita ambil serius. Kita pilih untuk lebih berhati-hati sebab yang kita nak jaga ini anak-anak kita sendiri.
Selepas keputusan itu dibuat, saya masih baca pelbagai pandangan ibu bapa. Ada yang minta tutup terus seminggu. Ada yang risau anak-anak makin tertinggal pelajaran. Ada juga yang pening kepala sebab kena pergi kerja, tiba-tiba sekolah tutup dan tak ada siapa nak jaga anak di rumah.
Setiap keluarga ada keadaan dan cabaran masing-masing. Setiap pandangan yang diberikan tentu ada sebabnya.
Cuma bila kita nak buat keputusan yang melibatkan berjuta-juta anak, ada perkara yang kita kena fikir betul-betul.
Soal jerebu ini bukan sekadar soal sekolah nak buka atau tutup. Kita bercakap tentang kesihatan, keadaan udara dan macam mana negara nak uruskan bencana.
KPM ini bidangnya pendidikan. Kalau soal kesihatan, kita ada KKM. Kalau nak tahu keadaan udara, kita ada JAS. Kalau soal pengurusan bencana, kita ada NADMA. Masing-masing ada pakar dan tanggungjawab mereka.
Sebab itu saya panggil semula agensi-agensi berkaitan untuk duduk semeja. Kita perlu melihat semula keputusan ini dengan mendapatkan pandangan mereka yang lebih arif.
Dalam perbincangan itu, kita turut mengambil kira pandangan NADMA bahawa pengurusan jerebu negara perlu berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).
Selepas mengambil kira pandangan agensi berkaitan, KPM memutuskan untuk kembali menggunakan ketetapan dalam PTJK.
Mungkin ada yang tanya, kenapa pula nak ikut pelan ini? Kenapa tak kekalkan saja IPU yang lebih rendah? Bukankah lagi rendah, lagi selamat?
Saya faham logik itu. Lagipun, bacaan IPU 150 memang sudah berada dalam kategori tidak sihat. Kebimbangan ibu bapa pada tahap itu memang berasas.
Cuma ada satu perkara yang penting untuk kita faham.
Dalam menguruskan jerebu, setiap tahap bacaan IPU ada tindakan yang perlu diambil. Kita tak boleh anggap semua tahap risiko memerlukan tindakan yang sama.
Contohnya, apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Anak-anak tak perlu keluar untuk bersukan atau buat aktiviti di padang. Langkah ini untuk mengurangkan pendedahan kepada jerebu, walaupun risiko kesihatan masih ada.
Apabila IPU mencecah 200, sekolah ditutup serta-merta.
PTJK ini pun bukan pelan yang baru dibuat. Negara memang dah ada panduan untuk uruskan jerebu. Sebab itu penting untuk kita kembali kepada satu panduan yang sudah ditetapkan di peringkat kebangsaan.
Bukan semua anak mempunyai keadaan kesihatan yang sama. Ada yang menghidap asma, ada yang mempunyai masalah pernafasan dan ada yang lebih mudah terkesan dengan jerebu.
Sebab itu kita tambah satu lagi kelonggaran. Kalau ibu bapa rasa keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak, mereka dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah. Cuma maklumkan kepada pihak sekolah.
Saya tahu bagi ibu bapa kesihatan anak-anak bukan perkara yang boleh dikompromi. Saya pun melihatnya begitu.
Namun, kita juga ada tanggungjawab memastikan mereka tidak terus kehilangan masa belajar. Pengalaman kita ketika PKP dahulu cukup mengajar betapa sukarnya untuk mendapatkan semula pembelajaran yang tertinggal.
Saya faham tidak semua orang akan bersetuju dengan setiap keputusan. Apa yang boleh dipastikan, setiap kebimbangan akan terus didengar dan keputusan akan dibuat dengan merujuk mereka yang mempunyai kepakaran.
Sumber: Facebook Fadhlina Sidek