
Dari kelas ke dunia nyata
Fiesta STEM TVET 2026 hubung pembelajaran teori dengan aplikasi praktikal lahir generasi berkemahiran
Bagaimana ilmu yang dipelajari dalam kelas dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah kehidupan?
Persoalan ini menjadikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semakin penting dalam membentuk generasi masa hadapan.
Menyedari kepentingan itu, SMK Bukit Tinggi Klang mengambil inisiatif menganjurkan program ini sebagai platform untuk memperluas pengetahuan, mencungkil bakat dan menyemarakkan minat murid terhadap bidang berkenaan.
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit TVET, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Nor Hisam Mohd Khalif berkata, penganjuran ini bukan sekadar mengisi kalendar aktiviti sekolah, sebaliknya usaha memperkaya pengalaman pembelajaran murid.
"STEM bukan hanya tentang formula Matematik, eksperimen Sains atau teknologi canggih. Lebih daripada itu, bidang tersebut mendidik murid supaya berfikir secara kritis, meneroka idea, mengenal pasti masalah dan mencari penyelesaian secara kreatif serta sistematik.
"Dalam dunia yang semakin berkembang pesat, kebolehan berfikir dan menyelesaikan masalah menjadi antara kelebihan yang diperlukan untuk menghadapi pelbagai cabaran," katanya.

Selain itu, ujar Nor Hisam, TVET melengkapkan pengetahuan tersebut dengan kemahiran teknikal dan praktikal yang berkaitan dengan keperluan industri.
"Melalui pendekatan ini, murid berpeluang memahami bagaimana sesuatu ilmu boleh diterjemahkan kepada produk, perkhidmatan atau teknologi yang memberikan manfaat kepada masyarakat.
"Apabila kedua-dua bidang ini bergerak seiring, pembelajaran tidak lagi terhenti setakat pemahaman teori, sebaliknya membuka ruang kepada murid mencuba, mencipta dan menghasilkan sesuatu yang bernilai," ujarnya.
Dalam menghadapi perubahan dunia pekerjaan, negara memerlukan generasi muda yang bukan sahaja berpengetahuan, malah mempunyai kemahiran relevan, berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.
Nor Hisam mengharapkan penganjuran Fiesta STEM TVET 2026 ini dapat menyemarakkan minat murid-murid, di samping membuka minda mereka terhadap kepelbagaian laluan pendidikan dan kerjaya.
"Pendidikan berkualiti bukan sekadar mempersiapkan murid untuk menghadapi peperiksaan, tetapi turut membekalkan mereka dengan ilmu dan kemahiran untuk menghadapi kehidupan.
"Inilah semangat yang ingin disemarakkan melalui program ini untuk memperkasa kemahiran dan membina generasi yang bersedia mencipta masa hadapan," katanya lagi.
