KPM dalam satu kenyataan berkata, pembinaan bilik darjah itu adalah untuk aliran perdana dan PPKI.
KPM dalam satu kenyataan berkata, pembinaan bilik darjah itu adalah untuk aliran perdana dan PPKI.

121 sekolah padat dapat bilik darjah tambahan baharu - KPM

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
05 Jun 2025 12:51pm

Sebanyak 121 buah sekolah padat membabitkan tujuh negeri telah dikenal pasti dan akan dibina bilik darjah tambahan baharu sebagai penyelesaian efektif kepada isu ruang pembelajaran yang sesak.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, pembinaan bilik darjah itu adalah untuk aliran perdana dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

"Projek ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan kos keseluruhan berjumlah RM88 juta.

"Ini termasuk kemudahan infrastruktur dan kelengkapan seperti peralatan pengajaran dan perabot," kongsi KPM pada Khamis.

KPM berkata, pecahan sekolah padat yang terlibat dalam pembinaan bilik darjah meliputi sekolah di Selangor sebanyak 103 buah, Perak (lapan), Pahang (empat) dan Negeri Sembilan (tiga).

Manakala Terengganu, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, masing-masing sebuah sekolah.

"Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Bagi Projek Naik Taraf Sekolah Berkepadatan Tinggi telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Khamis," kata kenyataan sama.

Sementara itu, KPM memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa berusaha menangani isu sekolah padat di seluruh negara dan menyediakan akses pendidikan yang kondusif untuk semua murid, guru dan warga sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk menerusi pembinaan bilik darjah tambahan baharu menggunakan kaedah Industrial Building System (IBS) dan kemudahan-kemudahan lain sebagai penyelesaian jangka pendek dan efektif di sekolah yang berkepadatan tinggi.

"Kaedah IBS dan lukisan Pre Approved Plan (PAP) dapat memastikan tempoh pembinaan yang singkat dan siap pada tahun semasa," ujar mereka.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp