Sebahagian peserta #QuranHour yang terlibat ketika program World #QuranHour di UIAM pada Khamis.
Sebahagian peserta #QuranHour yang terlibat ketika program World #QuranHour di UIAM pada Khamis.

2 pelajar kongsi pengalaman bernilai ikuti #QuranHour

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
14 Apr 2023 09:10am

“Ini adalah pengalaman terbaharu yang pastinya tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” tutur pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Agama Menengah Rawang (SAMER), Selangor, Ifti Nur Insyirah Basir, 17.

Menurutnya, program World #QuranHour sering didengari dalam kalangan rakan dan membaca di platform media sosial.

“Banyak yang saya dengar tentang manfaat #QuranHour. Selain berpeluang mendalami ilmu tentang makna surah-surah dalam al-Quran, saya juga mendengar program ini mampu menggalakkan masyarakat untuk berinteraksi dengan al-Quran iaitu baca, faham dan amal,” ujarnya ketika di temui Sinar Bestari, pada majlis tersebut.

Anak kedua daripada tiga adik-beradik ini berkata, dia akan memastikan dirinya menyertai #QuranHour pada masa akan datang.

“Jika bukan dengan sekolah, saya mungkin akan datang bersama ahli keluarga nanti,” jelasnya lagi.

Ifti Nur Insyirah
Ifti Nur Insyirah

Bagi Nur Auni Fathiyah Basir, 17, juga dari sekolah yang sama berkata, galakan daripada para guru dan keluarga adalah faktor dia turut serta dalam #QuranHour.

Artikel Berkaitan:

“Program ini sentiasa lalu lalang di Instagram saya. Jadi, apabila sekolah bercadang menyertai #QuranHour, saya terus setuju.

“Besar harapan saya program sebegini akan terus diadakan dengan penyertaan yang lebih meriah dalam kalangan umat Islam,” katanya yang telah khatam al-Quran sebanyak enam kali.

Nur Auni Fathiyah
Nur Auni Fathiyah

Program World #QuranHour kali ke-8 yang bertemakan Misi Surah Al-Insan: Memanusiakan Ummah telah diadakan serentak di seluruh dunia dari Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini.

Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu membawa tema Memanusiakan Ummah melalui agenda memanusiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara dalam merealisasikan misi Masuk Syurga Sekeluarga.

Sementara itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan berangkat buat kali kedua pada program tersebut hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar; Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak dan Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp