Industri batik: Masih trend atau dilupakan?
Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian hasil kraf tempatan.
Majlis Kraf Dunia-Asia Pasifik telah mengiktiraf batik Malaysia sebagai salah satu kraf tempatan yang terkenal di peringkat global.
Menurut Laporan tahunan 2012, batik merupakan hasil hutan, tekstil dan aneka kraf yang mana merupakan salah satu produk kraftangan berasaskan tekstil.
Oleh itu, batik juga adalah satu teknik untuk menghiasi kain dengan rekaan corak yang menggunakan lilin sebagai penahan untuk menghalang warna menembusi bahagian lain atas kain yang telah dicorakkan.
Selain itu, batik juga merupakan seni yang sememangnya popular sejak bertahun lamanya dan sangat terkenal di Kawasan Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan juga Pahang.
Batik yang dipercayai telah wujud sejak 2,000 tahun lalu di India dan Asia Tengah. Batik pertama kali dibawa masuk ke Indonesia dari India dan dikatakan mula berkembang pada abad ke-11.
Di Malaysia, batik dikenali pada akhir tahun 2004 yang mana kerajaan telah merangka dasar khusus tentang pembangunan industri batik.
Kewujudan corak batik yang kebiasaanya dalam pelbagai bentuk seperti batik tulis, batik skrin, batik celup dan batik terap telah menjadikan batik itu sendiri sangat unik dan istimewa di mata masyarakat. Bahkan, corak batik yang dihasilkan mempunyai daya tarikan yang tersendiri sehingga penggemar pakaian batik boleh menempah corak batik mengikut reka bentuk yang diidamkan oleh mereka.
Penggemar batik sanggup membayar lebih untuk mendapat kepuasan mereka apabila menggayakan pakaian batik.
Industri batik sering mendapat perhatian dan sambutan hangat apabila menjelang awal tahun kerana pihak sekolah akan membuat tempahan batik sebagai uniform untuk guru dan pelajar. Bukan di peringkat sekolah sahaja batik juga mendapat sambutan dalam kalangan orang ramai untuk digayakan pada musim perayaan dan juga pada bila-bila masa sahaja.
Walau bagaimanapun, industri ini juga tidak lari daripada menghadapi badai ataupun masalah mereka tersendiri dalam menjadikan budaya batik kekal relevan sepanjang zaman. Antaranya ialah generasi muda tidak berminat untuk mengusahakan industri batik.
Golongan ini berpendapat bahawa bekerja dalam sektor batik tidak glamor dan mereka lebih suka berhijrah ke bandar dan bekerja di sana.
Selain itu, golongan remaja kurang pendedahan berkaitan industri batik dalam kehidupan mereka sekaligus mendorong mereka untuk kurang pengetahuan serta kurang perhatian dalam menerapkan seni batik dalam kehidupan mereka.
Selain itu, industri batik menghadapi persaingan dengan industri tekstil biasa.
Pakaian daripada kain-kain lain lebih murah berbanding batik dan yang dihasilkan secara besar-besaran di kilang menggunakan kos yang lebih murah secara purata. Maka sangat sukar bagi usahawan batik untuk mengatasi persaingan daripada persaingan mereka untuk dipasarkan diseluruh dunia.
Bahkan industri batik ini kurang dititik berat oleh usahawan kerana masalah kekurangan modal.
Industri ini mengambil kira kos dan modal yang amatlah tinggi bagi menghasilkan kualiti yang bagus dan menarik minat pembeli serta usahawan untuk menceburui bidang ini dengan meluas.
Institusi kewangan dan bank tidak yakin untuk memberi pinjaman modal kepada pengusaha industri batik sehingga menyebabkan mereka tidak dapat mengembangkan lagi kraf batik kerana kekurangan teknologi baru dan canggih.
Secara keseluruhan masalah yang timbul itu hendaklah ditangani segera dalam usaha memartabatkan industri batik negara agar tidak ditelan zaman ataupun dilupakan.
Sekiranya bilangan usahawan semakin berkurangan, maka ia boleh melemahkan lagi sektor ini sekali gus negara bakal kehilangan aset besar memandangkan pembangunan produk warisan ini mampu menjadi daya tarikan pelancong asing.
Wajibkan pemakaian batik
Antara langkah yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan dan pihak berkaitan adalah menggiatkan pemakaian batik dalam kalangan rakyat. Sebagai contoh, kakitangan awam wajibkan memakai pakaian batik pada hari Khamis setiap minggu.
Malah kerajaan juga boleh menjadikan batik sebagai pakaian rasmi untuk aktiviti mereka bagi menggalakkan lebih lagi rakyat memakai batik tempatan melalui kempen media massa dan media sosial.
Selain itu, kerajaan juga seharusnya membantu pengusaha batik tempatan meneroka pasaran dengan lebih meluas.
Bagi meluaskan lagi pasaran batik, kerajaan perlu menggalakan pengusaha membuka cawangan perniagaan mereka di luar negara ataupun mereka membuka lebih daripada satu cawangan yang telah sedia ada.
Dalam memajukan industri batik, kerajaan juga perlu menggiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara agresif.
Agensi-agensi kerajaan seperti institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan juga institut pengajian tinggi swasta (IPTS) perlu bijak memainkan peranan untuk menaiktarafkan batik Malaysia.
Bak kata pepatah ‘kalau tidak dipecahkan ruyung,di manakan dapat sagunya’. Dengan pepatah ini mereka hendaklah melatih dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam industri pembuatan batik agar kita dapat menghasilkan pelbagai corak batik yang terkini dan mendapat pasaran yang luas.
Bahkan dari sudut pengusaha batik juga hendaklah berani melaburkan duit untuk dijadikan modal bagi perniagaan mereka.
Di samping giat menjalankan perniagaan, para pengusaha batik perlu rajin dalam menimba ilmu pengetahuan bak kata pepatah ‘berkayuh sambil menimba’.
Maka dengan adanya usaha dari pihak kerajaan, masyarakat dan juga pengusaha batik sendiri, ia mampu membuahkan satu hasil yang membanggakan semua pihak apabila pada Disember 2022, kraf batik telah melonjak selepas nilai jualan yang dijana oleh usahawan meningkat sebanyak 78 peratus pada tahun tersebut.
Walau bagaimanapun, kita perlu mengakui bahawa industri ini memakan kos yang tinggi dari segi pembuatan, penggunaan pewarna yang berkualiti tinggi untuk menghasilan warna dan corak yang tidak luntur bertahun-tahun.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainun Sham Ramli berkata, nilai jualan yang dijana menerusi kraftangan yang berasaskan batik bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu sebanyak RM69.2 juta.
Hal ini dapat membuktikan walaupun industri batik mempunyai masalah tetapi para usahawan percaya industri berkenaan mampu berkembang maju.
Kesimpulannya, seni batik yang menjadi identiti bangsa dan warisan tradisi wajib dikekalkan agar tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.
Maklumat Penulis
Pelajar Tahun Akhir SM Ekonomi (Sumber Alam), Universiti Malaysia Terengganu, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial,
Siti Sumiyah Saripu Baharin
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my