Pertandingan ini bukan sekadar pentas hiburan atau pertandingan, sebaliknya platform berkesan untuk menyemai keyakinan diri, kerjasama berpasukan sekali gus memupuk semangat patriotik pelajar. Gambar kecil: Siti Farihan.
Pertandingan ini bukan sekadar pentas hiburan atau pertandingan, sebaliknya platform berkesan untuk menyemai keyakinan diri, kerjasama berpasukan sekali gus memupuk semangat patriotik pelajar. Gambar kecil: Siti Farihan.

200 pelajar berentap rebut gelaran juara Bicara Berirama di pentas Karangkraf!

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
15 Jul 2025 08:00am

Pentas akhir Pertandingan Bicara Berirama kategori sekolah menengah bakal menggamatkan suasana Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 yang berlangsung penuh warna-warni di Studio MQT, Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

Sebanyak 10 buah sekolah menengah dari seluruh negeri Selangor tampil berentap mempersembahkan kreativiti dan semangat berpasukan menerusi persembahan berirama yang memukau. Antara sekolah yang mengesahkan penyertaan ialah Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Kajang.

Pertandingan anjuran Sinar Harian ini mengetengahkan tema bebas yang berfokus kepada pendidikan, sosial dan keharmonian masyarakat selari dengan semangat perpaduan dan nilai murni yang ingin diterapkan dalam kalangan pelajar.

Setiap pasukan terdiri daripada 20 orang pelajar, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 200 peserta yang akan menunjukkan taring mereka di pentas akhir. Para peserta akan dinilai oleh tiga orang juri profesional yang pakar dalam seni persembahan dan komunikasi.

No Image Caption

Penyelaras pertandingan, Siti Farihan Ismail berkata, antara tarikan utama pertandingan ini ialah hadiah yang lumayan dan penuh penghargaan buat para pemenang.

"Tempat pertama bakal membawa pulang RM500 berserta trofi, sijil dan hamper diikuti RM300 untuk Naib Johan dan RM200 untuk tempat ketiga, masing-masing turut menerima trofi, sijil dan hamper. Manakala pasukan yang mendapat tempat keempat dan kelima tidak pulang dengan tangan kosong apabila turut menerima sijil penyertaan dan hamper sebagai hadiah saguhati," katanya yang juga merupakan Penyelaras Akademi Pendidikan Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berkata, pertandingan ini bukan sekadar pentas hiburan atau pertandingan semata-mata sebaliknya menjadi platform berkesan untuk menyemai keyakinan diri, kerjasama berpasukan sekali gus memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

"Orang ramai dijemput hadir menyaksikan sendiri aksi bertenaga dan penuh inspirasi daripada generasi muda yang bukan sahaja bijak berpidato dan berpantun, malah mampu mengolah mesej masyarakat dengan gaya tersendiri dan berkesan," katanya.

Untuk rekod, pertandingan ini akan berlangsung pada hari Jumaat, 25 Julai ini bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di Studio MQT, Karangkraf, Shah Alam. Sekali lagi Sinar Bestari mewakili keluarga besar Sinar Harian dan Karangkraf menjemput anda semua untuk memeriahkan pertandingan ini!

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp