Md Norhalim Md Amin (lima kiri) bersama sembilan daripada 60 kanak-kanak yang menyertai program Sunathon di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang, Johor.
Md Norhalim Md Amin (lima kiri) bersama sembilan daripada 60 kanak-kanak yang menyertai program Sunathon di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang, Johor.

Kanak-kanak autisme ditidurkan 4 jam bagi proses berkhatan

AZLEENDA SAHALUDIN
15 Feb 2024 10:19am
A
A
A

Musim cuti sekolah sebelum bermulanya penggal baharu dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan ibu bapa khususnya yang mempunyai anak lelaki bagi menghantar anak mereka untuk berkhatan.

Ia telah menjadi satu budaya masyarakat di negara ini untuk mengkhatankan anak-anak lelaki semasa cuti sekolah.

Tahun ini, seorang kanak-kanak kategori autisme terpaksa ditidurkan selama empat jam untuk dikhatankan bagi mengelakkannya terkejut dan menjadi agresif semasa proses itu berlangsung di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Johor.

Nor Ezwan Budiman menemani Nor Iman Firdaus yang berhadapan masalah Autisme selepas berjaya dikhatankan melalui program Sunathon di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, Johor.
Nor Ezwan Budiman menemani Nor Iman Firdaus yang berhadapan masalah Autisme selepas berjaya dikhatankan melalui program Sunathon di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, Johor.

Menurut bapanya, Nor Ezwan Budiman, 34, dan isteri bersetuju dengan tindakan tersebut agar proses khatan anaknya, Nor Iman Firdaus yang berusia lapan tahun dapat berjalan lancar, selamat dan tidak membahayakannya.

"Saya bimbang kalau tidak dibuat seperti ini, anak bongsu saya daripada tiga beradik ini meronta-ronta ketika berkhatan yang secara tidak langsung amat berbahaya dan boleh menjejaskan keselamatan dia.

"Alhamdulilah. Selepas bangun tidur tadi dia tidak menunjukkan sebarang reaksi kesakitan dan diharap selepas boleh kekal seperti ini sehingga luka berkhatan itu sembuh nanti," katanya.

Nor Iman merupakan seorang daripada 60 peserta yang menyertai program Sunathon anjuran Kelab D'Kluang dan HEBHK di hospital berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang kanak-kanak yang berhadapan dengan masalah Phimosis, Mohd Ean Ayden Muhamad Fikri yang berusia dua tahun turut dikhatankan dalam program tersebut.

Mohd Ean Ayden ditemani ibunya selepas berjaya dikhatankan melalui program Sunathon di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, Johor.
Mohd Ean Ayden ditemani ibunya selepas berjaya dikhatankan melalui program Sunathon di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, Johor.

Kata ibunya, Syaza Liyana Ruzlan, 30, anak keduanya itu berhadapan masalah Phimosis atau keadaan kulup yang serius menyebabkan kulit di kepala zakar sukar atau tidak dapat ditarik ke belakang.

"Keadaan ini menyebabkan dia terpaksa dikhatankan awal kerana bimbang jangkitan kuman. Saya bersyukur selepas tertangguh beberapa kali akhirnya hasrat untuk mengkhatankannya tertunai tanpa sebarang masalah melalui program ini.

"Jika tidak dikhatankan bimbang sesuatu lebih teruk berlaku apatah lagi dia selalu mengadu kesakitan setiap kali membuang air kecil.

"Terima kasih juga kepada pihak penganjur iaitu Kelab D'Kluang dan HEBHK yang telah menganjurkan program ini kerana memudahkan urusan kami," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Kelab D'Kluang, Md Norhalim Md Amin melahirkan rasa syukur kerana dapat menganjurkan program khidmat masyarakat kepada orang ramai di daerah ini melalui program Sunathon 2024 yang julung kali dilaksanakan pihaknya.

Tambahnya, sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Kebajikan Amal Kluang, Runner Kluang, Kelab Motor Lasak Kluang, Permai Care, Persatuan Sepak Takraw Daerah Kluang, Belia Bandar Bersatu, MAYC Kluang, Persatuan Melayu Kluang, Persatuan Kebajikan Kasih Sayang Kluang dan Mentari Johor Kluang bergabung dengan pihaknya menganjurkan program itu.

"Program bersempena cuti persekolahan ini turut mendapat sokongan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Persatuan Kebajikan Kakitangan HEBHK, General Surcigal Society (KGSS) dan Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok