237 sekolah daif skala enam, tujuh dikenal pasti di Sabah
Sebanyak 237 sekolah daif skala enam dan tujuh dikenal pasti di Sabah dan 43 sekolah daripadanya sedang dalam proses dibaik pulih atau dibina baharu.
Exco Pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, jumlah yang direkodkan itu adalah setakat Mei tahun ini.
"Sekolah daif di Sabah setakat ini 237 membabitkan skala enam dan tujuh. Sekarang yang sedang dibina dan ada yang diselanggara adalah sebanyak 43 sekolah manakala 89 lagi dalam proses prabina.
"Jadi kita melihat perkara ini sangat serius dan kita ambil perhatian yang mendalam," katanya selepas melawat Sekolah Menengah Gadong (SMK) Gadong, Beaufort, Sabah pada Selasa.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya jumlah terkini sekolah daif di negeri ini.
Tambah beliau lagi, proses mengenal pasti sekolah yang berhadapan dengan isu kerosakan bangunan akan terus dilaksanakan dengan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JKNS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di negeri ini.
"JPNS dari masa ke masa bekerjasama dengan JKR untuk mengenal pasti dan memastikan bangunan-bangunan di skala enam dan tujuh dapat kita bantu selesaikan.
"Sekurang-kurangnya kita dapat naikkan lagi ke skala lima," katanya.