HomeBuletin249,646 lokar dijangka siap pemasangan pada akhir bulan ini

249,646 lokar dijangka siap pemasangan pada akhir bulan ini

Isu beg berat yang membebankan murid-murid sekolah rendah telah menemui jalan penyelesaian apabila Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan tujuh pendekatan dan ketetapan yang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah tersebut.

Salah satunya ialah penyediaan lokar di sekolah supaya murid-murid tidak lagi perlu membawa buku teks yang berat pada setiap hari.

Sehubungan itu, pemasangan lokar di 626 sekolah dua sesi bagi fasa pertama dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan ini.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, bagi fasa pertama, sebanyak 12 Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah terlibat dengan jumlah keseluruhan 249, 646 lokar diedarkan kepada murid-murid.

“Fasa kedua pula dijangka akan dilaksanakan pada tahun depan dengan diperluaskan kepada murid Tahap Dua di sekolah rendah dua sesi bawah KPM,” katanya selepas menyempurnakan Inisiatif Menangani Beg Berat: Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak Setia, Kuala Lumpur pada Rabu.

Sementara itu, bagi memastikan isu beg berat tidak berulang, Mohd Radzi berkata, pihaknya akan meminta Jemaah Nazir untuk mengadakan pemantauan.

Hasil pemasangan lokar di salah satu kelas SK Gombak Setia.

“Selain pemantauan, kita juga memerlukan kerjasama baik daripada semua pihak termasuk murid-murid, ibu bapa dan guru supaya budaya ini dapat dibina dan seterusnya meringankan bebanan yang dipikul oleh murid-murid,” jelas beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menyambut baik cadangan aspek penyelarasan pakaian agar murid diberi kelonggaran untuk memakai pakaian seragam sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA).

Sebelum itu, KPM telah menyenaraikan tujuh inisiatif meringankan beg sekolah antaranya ialah penyediaan lokar, penyusunan semula jadual waktu sehingga empat mata pelajaran sehari dan buku latihan tidak melebihi dua buah serta penggunaan buku teks digital.

KPM turut menggalakkan penggunaan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bertema atau modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (Virtual Lab) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap buku teks dan penggunaan pakaian seragam sekolah kebangsaan dibenarkan bagi sesi persekolahan KAFA.

Artikel berkaitan

Penggunaan lokar di sekolah, langkah terbaik atau sebaliknya?

Guna teknologi dan gajet, dapat pelbagaikan kaedah PdP dan atasi masalah beg berat

Beg sekolah berat: Penuntut IPT kongsi pengalaman dan cadangan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok