Ragam dan gelagat ceria murid-murid dirakam pada hari pertama sesi persekolahan di SK Raja Perempuan Muzwin.
Ragam dan gelagat ceria murid-murid dirakam pada hari pertama sesi persekolahan di SK Raja Perempuan Muzwin.

252 sekolah di Perak kurang murid - Pengarah Pendidikan Negeri

12 Jan 2026 10:37pm

Sebanyak 252 sekolah di Perak diklasifikasi sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) pada tahun ini iaitu kurang daripada 150 pelajar, kata Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar.

Beliau berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar antara yang paling tertinggi jumlah SKM iaitu 33 sekolah diikuti PPD Bagan Datuk (32) dan PPD Batang Padang (30).

Zulkafli berkata, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil adalah yang paling tinggi merekodkan SKM iaitu 91 manakala Sekolah Kebangsaan (SK) sebanyak 79 sekolah diikuti SJK Cina (70) dan SK Orang Asli (12).

"Ada sekolah yang beroperasi dengan tujuh orang murid, ada juga dengan lima orang sahaja.

"Antara faktor yang menyebabkan sekolah mempunyai kurang murid ini adalah sejarah dan geografi selain mengikut ibu bapa berpindah ke tempat lain," katanya kepada pemberita selepas Program First Day At School di SK Raja Perempuan Muzwin. 

Turut hadir Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin.

Terdahulu, Zulkafli dalam ucapannya berkata, konsep Sekolah Selamat bukan sahaja membabitkan keselamatan fizikal tetapi juga merangkumi keselamatan emosi dan kesejahteraan murid.

"Antara contoh Sekolah Selamat ialah laluan selamat ke sekolah dan dalam kawasan sekolah, pematuhan disiplin selain usaha berterusan untuk mencegah serta menangani perbuatan buli dan jenayah seksual.

"Dalam hal ini, murid perlu diajar untuk mematuhi peraturan lalu lintas, menggunakan laluan yang ditetapkan, berdisiplin dalam tingkah laku serta saling menghormati dan tidak menyakiti rakan-rakan," katanya. - Bernama 

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Sebanyak 252 sekolah di Perak diklasifikasi sebagai sekolah kurang murid pada tahun ini
  • PPD Kuala Kangsar mencatat jumlah SKM tertinggi dengan 33 sekolah
  • SJK Tamil adalah yang paling tinggi merekodkan SKM sebanyak 91
  • Faktor utama kurangnya murid ialah sejarah dan geografi serta migrasi ibu bapa
  • Konsep Sekolah Selamat merangkumi keselamatan fizikal, emosi, dan kesejahteraan murid
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp