HomeBuletin28 pelajar SSP layak ke Tournament of Champions, warga sekolah titip doa...

28 pelajar SSP layak ke Tournament of Champions, warga sekolah titip doa khas buat mereka

Bukan satu laluan mudah bagi sebuah pasukan pelajar untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan berprestij.

Ini kerana, pelbagai liku dan cabaran perlu ditempuh sekiranya mereka mahu melayakkan diri ke pertandingan peringkat antarabangsa.

Bagi 28 pelajar Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya, Selangor, yang berjaya ke Tournament of Champions November nanti, tiada kata-kata yang mampu diungkapkan melainkan menadah tangan tanda syukur kepada ALLAH SWT.

Yang Dipertua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Datuk Wan Jamaludin Wan Abdul Malik berkata, kejayaan kumpulan pelajar SSP ini sangat bermakna sehingga menggembirakan semua warga sekolah.

“Sebagai pelajar di Sekolah Berasrama Penuh Elit, saya memahami akan kesibukan mereka memberi tumpuan dalam pelajaran.

“Namun, apabila melihat sendiri yang pelajar ini juga mampu cemerlang dalam pertandingan ini, saya cukup sebak dan terharu. Ternyata, anak-anak ini memang hebat dan luar biasa bakatnya,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Sementara itu, Pengetua, Noridah Ramlan pula mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan pelajar sekolah itu.

“Ini antara kejayaan besar buat sekolah ini. Besar harapan saya agar anak-anak didik SSP dapat membawa pulang pelbagai kejayaan dalam pertandingan tersebut,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai 28 pelajarnya yang layak ke Tournament of Champions, Cikgu Noridah berkata, semuanya bermula pada Julai lalu apabila 36 pelajar bertanding dalam World Scholar’s Cup, Regional Round di Prince of Wales Island International School, Pulau Pinang.

Jelasnya, World Scholar’s Cup merupakan pertandingan yang menyediakan empat kategori iaitu Debate, Collaborative Writing, Scholar’s Bowl dan Scholar’s Challenge.

Dalam masa sama, peserta juga diuji pelbagai soalan yang merangkumi enam bidang iaitu Science and Technology, Art and Music, Literature and Media, Social Studies, Mistakes from the Past dan History.

Dalam World Scholar’s Cup itu, Cikgu Noridah memberitahu, pelajar SSP berjaya membawa pulang 64 pingat emas, 61 pingat perak dan empat trofi dan seterusnya melayakkan diri ke peringkat global di Bangkok.

Anugerah Top Scholar (Junior Division) bagi World Scholar’s Cup dimenangi Alia Qaisara Mohd Alwi dengan lapan pingat emas.

Alia Qaisara

Manakala Anugerah Top Scholar (Senior Division) pula dimenangi Amanda Khan Nazim Khan dengan tujuh pingat emas, satu pingat perak dan satu trofi.

Amanda Khan

Seterusnya, kumpulan pelajar seramai 31 orang pula terpilih menyertai World Scholar’s Cup Global Round 2022 yang berlangsung pada 2 hingga 7 September lalu di Bangkok, Thailand.

Setelah berentap dengan penuh kesukaran dan kesungguhan menentang 1,200 peserta dari serata dunia antaranya Kenya, Germany, Korea, Jepun, Australia, Iceland, Indonesia dan Singapura, pelajar SSP meraih kejayaan dengan 36 pingat emas, 63 pingat perak dan empat trofi sekali gus melayakkan 28 pelajarnya ke Tournament of Champions kelak.

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) Sanggar Bahasa, SSP, Profesor Madya Dr Adelina Asmawi berkata, kejayaan pelajar SSP ini memang di luar jangkaan.

“Saya melihat kesungguhan pelajar dan guru dalam setiap pertandingan yang disertai.

“Mereka sanggup berkorban masa dan tenaga demi memastikan diri dapat mewakili Malaysia ke Tournament of Champions. Sekalung penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus lumus. Semoga anda semua berjaya dengan cemerlang,” jelasnya yang juga seorang pensyarah kanan di Universiti Malaya.

Artikel berkaitan 

Kejayaan di peringkat antarabangsa, bukti kecemerlangan Sekolah Seri Puteri dalam bidang STEM

Inilah anak-anak Malaysia yang genius! Hadiahkan 6 anugerah untuk negara. Luar biasa

Rahsia tersembunyi pelajar cemerlang, berikut 9 perkara dikongsi mereka


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok