KETAMA3
KETAMA3

3 sekolah terima manfaat Unified Digital Library (UDL)

Norliza Wasilan
13 Sep 2022 05:38pm
A
A
A

Era digital yang mengalami perkembangan cukup pantas di negara ini telah menyebabkan pengguna banyak beralih kepada perpustakaan digital untuk mendapatkan bahan bacaan dan maklumat.

Dengan kuasa di hujung jari, kemudahan yang terdapat dalam perpustakaan digital boleh diakses di mana-mana saja dan pada bila-bila masa tanpa had.

Seiring dengan kepesatan teknologi semasa, Pertubuhan Kemahiran Ekslusif Teknologi Adaptasi Moden dan Aspirasi Malaysia (Ketama) menjalin kerjasama dengan Celcom dalam menyediakan plaform Unified Digital Library (UDL) membabitkan tiga buah sekolah.

Tiga buah sekolah yang menerima manfaat hasil kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat telekomunikasi itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Medan; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Dato’ Harun di Petaling Jaya, Selangor dan SK Pulau Chapa di Jitra, Kedah.

Menurut Pengasas Bersama Ketama, Imelda Harris, perpustakaan digital itu dilengkapi komponen seperti Rak Maya mengandungi E-Book, Edu-Games, My Digital Apps, Lawatan Maya, Tusiyen Maya dan Plaform Penilaian Pelajar

Ujarnya, platform itu dibangunkan selaras dengan perkembangan terkini yang menyaksikan golongan belia terutama pelajar cukup dekat dengan pengggunaan gajet.

“Kami percaya program ini akan dapat memanfaatkan semua komuniti yang terlibat iaitu pelajar, guru serta ibu bapa di sekolah berkenaan.

“Pada masa sama, ia memberi manfaat secara menyeluruh kepada pembangunan digitalisasi negara di samping mengetengahkan konsep kerjasama simbiosis korporat, NGO dan komuniti yang mampan,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Akses UDL Digital Educational Smart Hub untuk Sekolah Tajaan Celcom di SK Taman Medan, Petaling Jaya, tadi.

Pada majlis berkenaan, Ketua Tanggungjawab Korporat dan Perhubungan Kerajaan, Celcom Axiata Berhad, Areehan Abdullah menyampaikan replika akses UDL kepada Guru Besar SK Taman Medan, Khairul Nizal Abu Bakar dan Pengetua SMK Taman Dato’ Harun, Halleyza Ibrahim.

Sementara itu, Areehan berkata, pembiayaan akses berkenaan adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Celcom dalam usaha membantu golongan memerlukan.

Menurutnya, Celcom amat komited memainkan peranannya membantu masyarakat terutamanya membabitkan pelajar daripada keluarga B40.

“Apabila Ketama datang kepada kami, maka kami mencadangkan kepada mereka supaya mencari sekolah yang majoriti pelajar terdiri daripada keluarga dalam kalangan B40.

“Ini kerana, kami merasakan pelajar di sini amat memerlukan dan perlu dibantu berbanding sekolah yang terletak di kawasan elit untuk mendapatkan akses seperti ini,” ujarnya.

Imelda ketika mengulas lanjut mengenai UDL berkata, perpustakaan digital itu dilengkapi Rak Maya yang mengandungi E-Book merangkumi bahan bacaan, rujukan dan contoh soalan peperiksaaan.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa pengguna juga boleh merasai pengalaman seperti melawat lokasi terkenal dunia antaranya penerokaan piramid di Mesir dan Muzium Negara Amerika Syarikat menerusi Lawatan Maya.

“Kami juga menyediakan Edu-Games yang menerapkan pendidikan digital yang interaktif menggunakan konsep bermain sambil belajar.

“Terdapat juga platform bagi membangunkan kreativiti dan kemahiran pelajar melalui Program Pembangunan Android Apps yang membabitkan kolaborasi bersama Intel.

“Pelajar berpeluang membangunkan aplikasi permainan sendiri menggunakan teknologi AI yang disediakan dan kemudiannya menjualnya di Google Play Store jika mereka mahu,” ujarnya lagi.

Mengenai Penilaian Pelajar pula, Imelda berkata, menerusi platform itu, ia secara tidak langsung akan membantu menilai tahap kecenderungan pelajar dalam mengenal pasti potensi masing-masing dalam pemilihan kerjaya.

Artikel berkaitan

Tuah pelajar berkeperluan khas, menang hadiah kedua Festival Seni Monaco. Kagum!

Pengetua perlu kuasai bidang pendigitalan, ini antara sebab-sebabnya

Berkampung selama 2 bulan, 20 pelajar AS timba ilmu fotografi, selami kulinari tradisi Sabah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok