Tuah pelajar berkeperluan khas, menang hadiah kedua Festival Seni Monaco. Kagum!
Tuah pelajar berkeperluan khas, menang hadiah kedua Festival Seni Monaco. Kagum!

Tuah pelajar berkeperluan khas, menang hadiah kedua Festival Seni Monaco. Kagum!

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
01 Sep 2022 05:13pm

“Dia mahir dalam Bahasa Inggeris tetapi segan untuk bercakap secara bersemuka dengan individu lain.

“Kerana itu, dia berkarya menerusi cerita animasi sebagai satu platform untuk menonjolkan kebolehan diri.

“Dek bakat terpendamnya itu, tak sangka pula dia memenangi hadiah kedua kategori cerita animasi ‘Sumanga’ di Festival Seni Monaco yang berlangsung secara dalam talian 20 Ogos lalu,” demikian kata Cikgu Sirhajwan Idek dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah mengenai pelajarnya, Mohd Zahrul Hanif Hanapiah.

Merupakan pelajar berkeperluan khas kategori autisme, Cikgu Sirhajwan berkata, anak didiknya itu sememangnya sangat berbakat dalam animasi.

“Walaupun Mohd Zahrul Hanif istimewa, tetapi dia cukup sempurna di mata saya. Guru-guru lain juga sangat menyayangi pelajar ini sama seperti anak mereka,” ujarnya.

Sementara itu, kisah animasi Sumanga yang boleh ditonton melalui pautan https://youtu.be/LIk90d_eB7Qberkisarkan semangat penjaga perahu yang mampu membawa tuah dan memberi perlindungan kepada nelayan dan pelayar mengikut kepercayaan mitos masyarakat dahulu kala.

Ketamakan dan kejahilan masyarakat menyebabkan Sumanga meninggalkan penempatan nelayan dibawah jagaannya.

Semangat itu mengamuk kerana para penduduk setempat telah mengabaikan tanggungjawab memelihara alam sekitar dan menjaga kebajikan sesama sendiri.

Akibatnya, kampung-kampung di persisiran pantai mula dilanda malapetaka seperti ribut dan banjir serta pengurangan mendadak hasil tangkapan ikan dan para nelayan mula menyedari kesilapan mereka.

Dalam pada itu, Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Sabin mengucapkan tahniah kepada Mohd Zahrul Hanif kerana berjaya membuktikan yang pelajar berkeperluan khas juga mampu menempa kejayaan.

Beliau juga menyeru agar amalan seni dan budaya seperti cerita animasi dapat diperluaskan lagi untuk membantu mengasah bakat pelajar dan pada masa yang sama memelihara warisan budaya.

Artikel berkaitan 

4 guru KV Keningau lakar kejayaan di Amerika Syarikat

Ribuan pelajar mohon jadi Felo Perdana, Pei Ling terkejut namanya yang jadi pilihan. Cukup terharu!

Pelajar pengajian Islam dan bahasa Arab perlu kuasai bahasa Inggeris, ini sebabnya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp