3 sekolah terjejas banjir di Johor akan dibuka segera
Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuka tiga buah sekolah di Johor yang terjejas akibat banjir pada kadar segera selepas keadaan sekolah-sekolah selamat dan dibersihkan sepenuhnya untuk sesi persekolahan baharu.
Tiga sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Nasib Baik, Batu Pahat; SK Sri Mendapat dan SK Tanjong Sembrong, Parit Raja.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, KPM akan memastikan keselamatan diutamakan terlebih dahulu sebelum membuka sekolah-sekolah tersebut.
"Kami (KPM) akan pastikan sekolah dibersihkan, perabot semua disediakan sebelum mula sesi persekolahan kelak untuk murid-murid kembali ke sekolah.
"Buat masa ini, kita sedang memantau perkembangan banjir di sana (Johor).
"Apabila semua sudah selamat dan bersedia, kita akan memulakan sesi persekolahan dengan secepat mungkin," katanya pada sidang media selepas melawat pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) PJS 1, Petaling Jaya, Selangor pada Isnin.
Hadir sama, Guru Besar SJKT PJS 1, Rajaletchumy Rajaratnam, guru-guru, murid-murid dan ibu bapa.
SJKT PJS 1 merupakan sekolah baharu yang memulakan operasi secara rasmi hari ini dengan 25 murid dan sekolah tersebut adalah SJKT yang ke-100 di negeri Selangor.
Dalam pada itu, Hui Ying menambah, bilangan murid bakal bertambah pada masa depan berikutan keadaan sekeliling terdapat kepadatan penduduk.
"Sekolah ini merupakan sebuah sekolah baharu yang mempunyai 24 bilik darjah.
"Walaupun hari ini hanya 25 murid tetapi kami percaya pada masa depan murid akan bertambah.
"Kami ingin mengucapkan tahniah kepada guru besar dan guru. Semoga terus berusaha mengharumkan, membangunkan nama SJKT ini,” katanya.