Penggunaan buku teks digital tersebut perlu disokong dengan peralatan komputer, komputer riba atau telefon bimbit. Kredit foto; Pexels
Penggunaan buku teks digital tersebut perlu disokong dengan peralatan komputer, komputer riba atau telefon bimbit. Kredit foto; Pexels

50,000 komputer riba dalam fasa pengagihan ke sekolah seluruh negara- KPM

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
21 Mar 2023 10:40am
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang giat menjalankan urusan pengagihan komputer riba sebanyak 50,000 buah unit untuk diberikan kepada sekolah seluruh negara bagi tujuan pembelajaran buku teks digital.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, pengagihan akan dilakukan mengikut peruntukan serta formula yang telah dibincangkan di peringkat kementerian.

Jelas beliau, sekiranya semua berjalan seperti mana yang telah dirancang proses pemberian akan siap dalam tahun ini juga.

“Oleh itu, kita dalam proses untuk membuat agihan dan perolehan akan dilaksanakan sebelum bekalan tersebut diagihkan kepada semua sekolah.

“Agihan akan dibuat berdasarkan formula yang sedang dibincang dan diperkemaskan agar semua sekolah mendapat bekalan komputer riba yang boleh digunakan untuk pengajaran, khususnya tujuan buku teks digital serta lain-lain bahan berkaitan pendidikan,” jelasnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dalam masa sama, tambah Pkharuddin lagi, sehingga kini sebanyak 70 peratus buku teks digital telah berjaya dihasilkan untuk dimanfaatkan pelajar sejak ia diperkenalkan dua tahun lalu.

Tuturnya, penggunaan buku teks digital tersebut perlu disokong dengan peralatan komputer, komputer riba atau telefon bimbit.

Tutur beliau lagi, melalui kaedah tersebut KPM boleh bekalkan bahan pendidikan dalam bentuk simpanan (storage) yang boleh dibawa masuk ke dalam peranti atau komputer riba.

Artikel Berkaitan:

“Video pembelajaran serta contoh buku digital telah disediakan dan boleh dimuat turun oleh guru apabila ingin menggunakan bahan-bahan itu menerusi komputer riba yang dibekalkan untuk pengajaran di sekolah masing-masing.

“Bagi sekolah di luar bandar boleh menggunakannya secara luar talian (offline) manakala sekolah yang berada di bandar serta serba lengkap kemudahannya boleh memuat turun dan membuat capaian menggunakan internet.

“Hala tuju kita kelak adalah ke arah pendidikan bersifat digital agar anak-anak mendapat sumber pembelajaran yang lebih menarik serta mudah untuk difahami dalam masa sama memberi impak yang besar keapda kefahaman mereka,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok