Untitled (25)
Untitled (25)

5,082 pelajar baharu mendaftar di UUM esok

Nor Azma  Muhamat Laila
04 Oct 2021 09:47pm
A
A
A

Seramai 5,082 pelajar baharu ditawarkan untuk mengikuti 47 program pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi Sesi Akademik 2021/2022 yang akan bermula pada 5 Oktober (esok).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Haim Hilman Abdullah yang menjalankan fungsi Naib Canselor berkata, kesemua mereka yang akan melaporkan diri ini terdiri daripada lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta pelajar antarabangsa.

Menurut beliau, daripada jumlah berkenaan, seramai 4,817 adalah pelajar tempatan manakala bakinya 252 orang lagi pelajar antarabangsa.

Kesemua mereka ini masing-masing melalui pengambilan UPU (4,535), Lepasan Asasi Pengurusan UUM (220) dan saluran terbuka 62 pelajar.

Manakala pecahan bagi pelajar antarabangsa pula masing-masing pelajar mobiliti (40 orang), peringkat sarjana muda dari 16 buah negara seramai 192 pelajar dan pelajar dual degree (Universitas Padang Indonesia) 20 orang.

Prof Dr Haim Hilman Abdullah.

Prof Dr Haim Hilman dalam sidang media secara rakaman memaklumkan, daripada jumlah pengambilan menerusi UPU itu, seramai 3,357 adalah pelajar wanita manakala pelajar lelaki ialah 1,178 orang.

“Untuk makluman juga, jumlah pelajar antarabangsa ialah 116 dari Indonesia, China (15), Yaman (9), Somalia (4) dan lain-lain pelajar ialah dari Nigeria, Algeria, Thailand dan Arab Saudi,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, kemasukan pelajar baharu pada sesi ini turut menyaksikan pendaftaran membabitkan 16 Orang Kelainan Upaya (OKU) dan orang asli dari Tapah, Perak, serta Kuala Rompin, Pahang.

Tiga program pengajian yang menerima kemasukan terbesar kali ini ialah Sarjana Muda Perakaunan (347), Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (311) dan Sarjana Muda Sains Ekonomi seramai 306 pelajar.

Pergerakan pelajar lama dan baharu ke kampus bagi kemasukan kali ini akan dibuat secara berperingkat seperti yang dimumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk memenuhi syarat lengkap vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin.

Kira-kira 2,600 pelajar lama dan 900 pelajar baharu dijangka memasuki kampus bagi fasa pertama bermula 15 Oktober ini.

Sehingga 26 September lalu, jumlah keseluruhan pelajar UUM adalah seramai 34,346 orang iaitu 29,350 bagi peringkat pengajian sarjana muda (sepenuh masa, Pengajian Jarak Jauh dan program kerjasama) dan 4,996 bagi pascasiswazah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok