"Kita akan mula 16 Mac ini namun tetap akan melihat perkembangan dari semasa ke semasa" - Fadhlina.
"Kita akan mula 16 Mac ini namun tetap akan melihat perkembangan dari semasa ke semasa" - Fadhlina.

533 pelajar terkandas banjir bakal duduki penjadualan semula kertas SPM 16 Mac ini

ROSHLAWATY MD RAIEH
06 Mar 2023 12:44pm
A
A
A

Seramai 533 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang terjejas banjir di Johor, Pahang dan Sarawak baru-baru ini, bakal menduduki penjadualan semula kertas-kertas peperiksaan SPM pada 16 Mac ini.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, jumlah calon SPM yang terjejas banjir pada 1 hingga 2 Mac lalu merangkumi beberapa pecahan iaitu 450 pelajar di Johor, 79 di Pahang dan empat di Sarawak sekali gus menjadikan jumlahnya seramai 533 calon.

Kata beliau, beberapa kertas peperiksaan telah terlibat dalam siri penjadualan semula SPM 2022.

Kertas peperiksaan itu terdiri daripada Ekonomi, Sains, Fizik dan Sains Rumah Tangga.

Bagaimanapun sambung Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) akan tetap melihat kepada persediaan logistik dan cuaca semasa yang boleh mempengaruhi tarikh penjadualan semula kertas peperiksaan terbabit.

“Kita akan mula 16 Mac ini namun tetap akan melihat perkembangan dari semasa ke semasa.

“Oleh itu, kita berdoa supaya tiada lagi pertambahan tarikh dan kita tidak mahu anak-anak diberikan tekanan disebabkan cuaca sebegini,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan 'Gerakan Massa: #terimaksihcikgu' di Kuantan, Pahang, pada Ahad.

Program ‘Gerakan Massa: #terimaksihcikgu' peringkat kebangsaan yang julung kali diadakan akan berlangsung secara berterusan di peringkat sekolah mulai Mac hingga Mei 2023 sempena Sambutan Hari Guru pada 16 Mei depan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Bestari ada menyiarkan artikel pelaksanaan penjadualan semula peperiksaan SPM kepada calon yang terkandas akibat banjir.

Dalam artikel itu, KPM memaklumkan pihaknya menerusi Lembaga Peperiksaan (LP) sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai calon yang tidak dapat menghadiri pusat peperiksaan dijadualkan atau pusat peperiksaan berhampiran.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan lebat berterusan telah menjejaskan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022.

“KPM prihatin dengan situasi semasa dan siap siaga prosedur operasi standard (SOP) serta langkah persediaan sewajarnya bagi memastikan SPM 2022 dapat diteruskan dengan lancar dan teratur.

“Pengurusan pengendalian peperiksaan dalam situasi banjir dilaksanakan berpandukan kepada Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan (Operasi Payung) Bil 1/2001,” menurut kenyataan itu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok