
Adik bongsu Truper Indiran teruskan persekolahan, KPM janji sokongan berterusan
Di sebalik suasana pilu menyelubungi sebuah keluarga yang kehilangan tonggak utama, sinar harapan tetap menyala buat seorang murid Tahun Enam yang kini perlu meneruskan kehidupan dan persekolahan dengan tabah.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyelaras bantuan sewajarnya kepada K Maitraashini, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Greenlane yang merupakan adik bongsu kepada mendiang Truper K Indiran.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) agar menyelaras segala bentuk bantuan dan sokongan pendidikan yang diperlukan bagi memastikan kebajikan serta kelangsungan pembelajaran kanak-kanak itu terus terpelihara.
“Saya telah meminta PPD menyelaraskan apa-apa bantuan serta sokongan pendidikan untuk anak ini. Keluarga tak perlu risau, kita akan lihat segala keperluannya dari semasa ke semasa, khususnya untuk pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi kediaman keluarga mendiang di Taman Sri Nibong. Dalam kunjungan kira-kira 20 minit itu, beliau menyantuni ibu Indiran, S Usha, 52, serta tiga adik-beradiknya bagi memberikan sokongan moral dan menyampaikan sumbangan.
Suasana pertemuan itu sarat emosi apabila Usha berkongsi kenangan anak sulungnya yang disifatkan sebagai tempat bergantung keluarga sejak pemergian suaminya, Mejar C Kayamboo yang merupakan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat pada tahun 2016.
“Setiap pagi dia akan mesej good morning, tanya saya sudah makan atau belum. Dia beritahu ke mana dia pergi dan apa yang dibuat,” luahnya sayu.
Indiran, 22, yang sedang mengikuti kursus di Kem Batu 10 Kuantan, Pahang, dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya.
Bagi Maitraashini, perjalanan sebagai murid sekolah rendah kini hadir dengan cabaran emosi yang besar. Namun, sokongan berterusan daripada KPM dan komuniti pendidikan diharap mampu menjadi kekuatan agar langkahnya ke sekolah tetap teguh, membawa bersama semangat dan kenangan seorang abang yang sentiasa mengambil berat.
Ringkasan AI
- Sinar harapan untuk murid Tahun Enam, K Maitraashini, yang kehilangan abangnya, Truper K Indiran
- Kementerian Pendidikan Malaysia akan menyelaras bantuan pendidikan bagi Maitraashini, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Greenlane
- Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menjamin kelangsungan pendidikan dan kebajikan Maitraashini terpelihara
- Ibu Maitraashini, S Usha, berkongsi kenangan tentang Indiran yang merupakan tonggak kepada keluarga selepas kematian suaminya pada tahun 2016
- Sokongan berterusan dari KPM diharapkan memberi kekuatan kepada Maitraashini untuk terus maju dalam pendidikan dengan semangat positif