bernama-sarawak
bernama-sarawak

Agihan komputer ke sekolah rendah di Sarawak selesai Disember

webadmin
12 Aug 2021 10:21am
A
A
A

SIBU - Pengagihan komputer Raspberry Pi kepada 1,265 sekolah rendah di seluruh Sarawak dijangka selesai Disember ini, kata Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak  Dr Annuar Rapaee.

Beliau berkata setakat ini lebih 500 sekolah di Serian, Bau dan Kapit telah menerima komputer yang akan mendedahkan murid terutamanya di kawasan pedalaman tengah kepada dunia digital melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) tanpa perlu akses internet

“Komputer ini tidak seperti komputer yang hari-hari kita gunakan sebaliknya berfungsi sebagai rangkaian intranet dan memastikan pembelajaran masih boleh berlangsung walaupun tidak ada sambungan internet.

“Murid boleh menyambungkan tablet mereka kepada pelayan komputer dalam radius 10 meter untuk mengakses bahan pembelajaran yang sedia dimuat naik atau bahan yang dimuat naik oleh guru-guru mereka,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan komputer Raspberry Pi kepada 22 sekolah di daerah Selangau, di Dewan Penghulu Balang di Sekuau, dekat sini.

Dr Annuar berkata, jumlah Raspberry Pi yang diperuntukan kepada setiap sekolah antara lima hingga 25 unit bergantung kepada bilangan pelajar.

Katanya, Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS), iaitu syarikat milik penuh kerajaan negeri, akan menyediakan perkhidmatan teknikal manakala kementerian akan memberikan bahan-bahan pembelajaran yang sedia dimuat naik.

Beliau berkata, latihan akan diberikan kepada guru termasuk dalam aspek pemasangan dan penyelenggaraan kecil komputer Raspberry Pi, yang telah digunakan secara meluas di sekolah rendah di seluruh Britain, Amerika Syarikat serta beberapa negara di Afrika dan Amerika Selatan.

Selain Selangau, 35 sekolah di Kanowit dan 93 sekolah di Sibu akan menerima komputer masing-masing dalam masa terdekat, sebelum pengagihan diteruskan ke kawasan lain sehingga akhir tahun ini.

Program tersebut bagi memastikan semua murid sekolah di Sarawak diperkasakan dengan pengetahuan teknolologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam era digital sekarang. - BERNAMA

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok