No Image Caption

Ahmad Farhan dilantik Naib Canselor UPM baharu berkuat kuasa 2 Oktober depan 

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
21 Sep 2023 03:29pm
A
A
A



Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baharu, berkuat kuasa mulai 2 Oktober depan.

Pelantikan Ahmad Farhan, 56, yang juga mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Malaysia (USM) itu bagi menggantikan Datuk Profesor Dr Roslan Sulaiman yang tamat perkhidmatannya sebagai Naib Canselor UPM pada 31 Ogos lalu.

KPT dalam kenyataan media pada Rabu memaklumkan, Ahmad Farhan memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Awam dari The Catholic University of America, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengangkutan dari Imperial College London, United Kingdom.

Seterusnya, beliau telah melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran bidang Pengajian Pengangkutan di University College London, United Kingdom.

KPT menambah, Ahmad Farhan memulakan kerjaya sebagai pensyarah di USM pada 2004 dan pernah menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM untuk tempoh tiga tahun dari 2017 hingga 2020.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) dari 2008 hingga 2011.

“Hasil kombinasi pengalaman pentadbiran di peringkat universiti awam dan agensi Persekutuan, KPT yakin Ahmad Farhan dapat meletakkan UPM berada di atas landasan sebagai universiti penyelidikan yang memfokus kepada pertanian.

“Beliau juga dilihat berkeupayaan untuk memacu UPM ke satu tanda aras baharu dalam ekosistem pendidikan tinggi khususnya bagi merealisasikan agenda sekuriti makanan negara,” ujar kenyataan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok