Ahmad Zahid seru calon tidak duduki SPM ceburi TVET
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru 10,160 calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 supaya melanjutkan pengajian mereka dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara itu turut menasihati golongan itu serta ibu bapa masing-masing agar tidak berputus asa dalam aspek akademik kerana bidang tersebut adalah 'jawapan' untuk mereka membina kerjaya pada masa depan.
"TVET terima pelajar yang gagal dan tidak mengambil peperiksaan SPM itu. Ini bukan bererti ia pilihan kedua atau ketiga tetapi peluang kedua untuk pelajar," katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi beliau ke China pada Khamis.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, TVET dilihat sesuai untuk pelajar kurang cemerlang serta calon SPM tidak hadir peperiksaan itu kerana ia menyediakan 70 peratus latihan di bengkel serta makmal manakala bakinya pembelajaran dalam kelas.
Pada Isnin lepas, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata analisis keputusan SPM 2023 di Putrajaya mengesahkan seramai 10,160 daripada 383,685 calon tidak hadir untuk menduduki peperiksaan itu.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan meminta bantuan semua Ketua Pengarang Media di Malaysia untuk mengetengah dan mempromosikan TVET sebagai pilihan pertama melanjutkan pelajaran bagi merancakkan kempen kesedaran berkaitan bidang itu.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) turut minta supaya kempen kesedaran mengenai TVET dilakukan kerana ia tidak akan berjaya tanpa sokongan pihak media.
"Maka saya merancang untuk memberikan taklimat kepada Ketua Pengarang tentang program TVET kerana kita akan melancarkan Dasar TVET Negara pada 8 Jun ini," katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan institusi pendidikan terkemuka serta pemain industri utama di China iaitu Kolej Vokasional dan Teknikal Landasan Kereta Api Liuzhou, Universiti Jiaotong Barat Daya, Universiti Nantong, Alibaba Cloud (M) Sdn Bhd dan KTK Dom Railway Sdn Bhd.
Kerjasama itu memfokus kepada teknologi baru muncul dan kemajuan dalam teknologi kenderaan dan kereta api, tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik, telekomunikasi, kecerdasan buatan, pengkomputeran awan dan Internet benda.
Ahmad Zahid dalam rangka lawatan rasmi pertama beliau ke China sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 dan lawatan sejak 22 Mei hingga Sabtu ini adalah atas jemputan Timbalan Perdana Menteri China, Ding Xuexiang. - Bernama