Anak pekebun sawit raih keputusan 7A dalam SPM
Sibuk dengan aktiviti kokurikulum di sekolah dan berdepan masalah keluarga bukan penghalang bagi seorang anak pekebun kelapa sawit meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 yang diumumkan Isnin lalu.
Muhammad Firdaus Jasli, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, Beaufort, mendapat 7A dalam SPM tidak menyangka dia berjaya menempuh cabaran dengan keputusan yang boleh dibanggakan oleh pihak sekolah dan juga keluarganya sendiri.
Menurut Muhammad Firdaus, 2023 adalah tahun yang mencabar baginya kerana bukan saja aktif dalam aktiviti di sekolah tetapi dalam masa sama ayahnya dimasukkan ke hospital kerana penyakit strok.
"Apa yang menjadi inspirasi saya untuk cemerlang adalah disebabkan kehidupan kami yang sederhana. Bapa saya hanya bekerja sebagai pekebun kelapa sawit dan pendapatan keluarga tidak menentu mengikut buah kelapa sawit yang dijual.
"Tahun lalu, bapa saya menghidap penyakit strok dan lumpuh separuh badan menyebabkan pendapatan keluarga terjejas. Mujur nenek dan ibu saudara banyak membantu meringankan beban kami termasuk menyara persekolahan saya dan dua lagi adik.
"Jadi bagi saya tiada cara lain untuk mengubah nasib kami sekeluarga. Saya bertekad belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan yang baik dan mahu menyambung pengajian di peringkat tinggi demi cita-cita untuk menjadi guru," katanya ketika dihubungi Sinar Bestari pada Selasa.
Diminta berkongsi cara membahagikan masa ketika menghadapi SPM, Muhammad Firdaus berkata, dia banyak membuat ulang kaji setiap subjek yang dipelajari di sekolah.
"Walaupun saya sibuk dengan aktiviti di sekolah seperti berbahas, terbabit dalam operasi di pusat sumber dan sebagainya, namun ketika belajar di kelas saya akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang dipelajari.
"Malah saya cuba menggunakan kaedah 'eye contact' dengan guru yang mengajar selain menjadikan guru-guru sebagai rakan supaya mereka lebih mudah berkongsi ilmu dengan pelajar.
"Di rumah pula, saya lebih banyak melakukan ulang kaji pelajaran tanpa melakukan tugasan yang diberi kerana bagi saya mengulangkaji pelajaran lebih penting supaya lebih ingat dengan apa yang diajar," katanya.
Katanya lagi, dia kini merancang untuk melanjutkan persekolahan di Tingkatan Enam kerana ia lebih sesuai dengan keadaan yang dihadapinya kini.
"Saya rasa dengan keadaan keluarga yang sederhana, Tingkatan Enam amat sesuai dengan saya ketika ini. Untuk menampung persekolahan nanti, saya bekerja secara sambilan di sebuah kedai gunting selepas saja tamat SPM tempoh hari.
"Kalau ada masa, saya juga turut membantu mengambil kelapa sawit untuk membantu bapa. Sekurang-kurangnya dapatlah membantu pendapatan keluarga sebelum sesi persekolahan bermula nanti," katanya.