
Angkat mesej kelestarian peringkat nasional-KDEBWM
Generasi muda tonjol kreativiti, peka terhadap isu alam sekitar
Festival TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2025 menyaksikan penganjuran penuh meriah dengan penglibatan pelajar dari seluruh negara, membawa mesej kelestarian alam melalui medium kreatif serta teknologi.
Penolong Pengurus Besar Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM), Nazar Abd Raof berkata, ketika dunia memerlukan kelestarian alam yang perlu digerakkan secara berterusan, festival ini mencetuskan banyak idea baharu, khususnya dalam kalangan pelajar untuk membentuk generasi masa depan lebih baik demi negara.
“Kami terlibat dalam festival ini untuk kali kedua. Pihak pengurusan KDEBWM sentiasa menunjukkan komitmen tinggi untuk bersama menjayakan program berkenaan kerana bagi kami, pendidikan mengenai kelestarian perlu bermula daripada golongan muda,” katanya kepada Sinar Bestari pada Rabu.
Festival yang berlangsung selama tiga hari itu turut sarat dengan pelbagai aktiviti termasuk podcast Bual Bestari bertajuk ‘Generasi TV PSS, Inspirasi Hijau’.
Paling membanggakan apabila Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menyempurnakan majlis kemuncak festival yang berlangsung pada Rabu.
Hadir sama Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf Farah Hussamuddin; Pengarang Eksekutif Sinar Harian, Azmi Tarmizi; Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian merangkap Pengetua Akademi Pendidikan Sinar Bestari, Meen Tahrin; Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Aniza Kamarulzaman serta Timbalan Pengarah BSTP KPM, Moktar Wahid.
Dalam pada itu, sokongan KDEBWM dalam program itu bertujuan meningkatkan kemahiran digital, inovasi dan komunikasi pelajar terutama bidang pengucapan awam, kewartawanan, penulisan dan penghasilan berita.

Ujar Nazar, selain mempertandingkan beberapa kategori, festival menampilkan dua anugerah utama iaitu Anugerah Juri Pilihan Sinar Bestari X KDEBWM dan Anugerah Video Terbaik TV PSS.
Menurutnya, Anugerah Juri Pilihan Sinar Bestari X KDEBWM diwujudkan sebagai pengiktirafan khas kepada kreativiti karya pelajar dalam menonjolkan mesej kelestarian efektif.
“Bagi KDEBWM, anugerah ini sangat penting kerana ia mampu mendidik pelajar agar lebih peka terhadap isu alam sekitar, seterusnya menggalakkan mereka untuk menghasilkan bahan kreatif yang bukan sahaja menghiburkan tetapi memberi kesedaran,” ujarnya.
Beliau berkata, Festival TV PSS Sinar Bestari merupakan platform pendedahan pelajar mengenai perkembangan teknologi semasa termasuk kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi digital yang dapat dimanfaatkan dalam penyelesaian isu alam sekitar.
Ujar beliau, KDEBWM sebagai syarikat pengurusan sisa pepejal terbesar di negara dengan kutipan lebih 7,000 metrik tan sehari, percaya kolaborasi bersama pelajar akan melahirkan ejen perubahan yang mampu mempengaruhi masyarakat untuk lebih prihatin terhadap kelestarian.
“Kami berpegang kepada tiga teras utama iaitu People, Planet dan Profit. Justeru, program ini memberi peluang untuk membangunkan komuniti serta mendidik pelajar mengenai pentingnya menjaga bumi untuk generasi akan datang.
“Kami percaya dengan kesedaran awal, planet ini dapat dijaga sebelum terlambat. Festival seperti ini perlu diteruskan kerana ia melahirkan masyarakat lebih mementingkan kelestarian,” kata beliau.
Semangat berpasukan
Sementara itu, pemenang Anugerah Juri Pilihan Sinar Bestari X KDEBWM, Eryna Amira Mohd Elham, 16, berkata, pengiktirafan yang diterima merupakan permulaan bermakna buat pasukannya.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dapat memenangi anugerah ini. Kami memang mengimpikan anugerah ini kerana karya dihasilkan daripada sisa buangan merupakan inovasi baharu,” katanya.
Menurut pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Sains Muar itu, kemenangan tersebut merupakan hasil kerja keras dan semangat berpasukan yang tinggi, meskipun mereka hanya menggunakan gajet yang mudah didapati tanpa peralatan canggih.
Reaksi
"Saya berbangga, terharu dan berharap pengiktirafan ini akan memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus kejar impian mereka.” - Pemenang Anugerah Video Terbaik TV PSS, Husna Insyirah Niyazi Che' Razi, 16.

"Program ini memberikan kesedaran dan mengasah kemahiran kewartawanan serta penyiaran.” - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, Kuala Selangor, Khaulah Syahidah Suhaimu, 15.

"Saya bersyukur apabila berjaya meraih Anugerah Naib Johan untuk Video TV PSS Terbaik Kategori Sekolah Menengah.” - Pelajar SMK Saujana Utama, Kuala Selangor, Nur Zakirah Syaiful Anwar, 15.


"Program ini memberi manfaat kepada pelajar kerana boleh mengenal kelengkapan dan teknologi baharu serta belajar cara mengendalikannya dengan lebih baik.” - Pelajar Sekolah Kebangsaan Kiaramas, Kuala Lumpur, Khaliff Darwisy Mohd Khairul Nizar, 12.
Ringkasan AI
- Festival TV PSS Sinar Bestari diadakan untuk mendorong kesedaran tentang kelestarian alam melalui kreativiti dan teknologi
- KDEBWM menyokong festival ini untuk meningkatkan kemahiran digital dan kesedaran pelajar tentang isu alam sekitar
- Tengku Permaisuri Selangor menyempurnakan majlis kemuncak festival
- Festival ini menampilkan anugerah utama iaitu Anugerah Juri Pilihan Sinar Bestari X KDEBWM dan Anugerah Video Terbaik TV PSS
- Pemenang Anugerah Juri Pilihan menerima pengiktirafan atas keberkesanan mereka dalam mengangkat mesej kelestarian melalui kreativiti