Azlinda (kiri) dilantik Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi menggantikan Husaini yang bersara wajib 10 Mac lalu.
Azlinda (kiri) dilantik Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi menggantikan Husaini yang bersara wajib 10 Mac lalu.

Azlinda dilantik Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi berkuat kuasa hari ini

ROSHLAWATY MD RAIEH
31 May 2023 04:59pm
A
A
A

Jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT) yang baharu kini diisi oleh Profesor Dr Azlinda Azman berkuat kuasa hari ini (31 Mei 2023) hingga 30 Mei 2025.

Pelantikan itu sekali gus menggantikan KPPT terdahulu iaitu Profesor Datuk Dr Husaini Omar yang telah bersara wajib pada 10 Mac lalu.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan media pada Rabu berkata, Azlinda, 55, merupakan individu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kerja Sosial) dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Kemudian, beliau telah melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang yang sama semata-mata mahu mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Selepas itu, Azlinda dipilih dan dianugerahkan Biasiswa Fulbright yang memberinya peluang melanjutkan pengajian peringkat PhD dalam Kerja Sosial Klinikal di New York University (NYU), Amerika Syarikat.

Sementara itu, dalam kenyataan media yang sama turut memaklumkan Azlinda pernah memegang Jawatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM sebelum ini.

Selain memiliki pengalaman kerja dan pentadbiran yang luas, beliau juga merupakan seorang ahli akademik dan penyelidik yang disegani terutama dalam bidang kerja sosial di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Wanita hebat ini juga dipilih menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Majlis Bersama Kebangsaan Pendidikan Kerja Sosial Malaysia dan juga Konvenor Kumpulan Tindakan dan Penyelidikan AIDS (AARG), USM sejak 2011.

Artikel Berkaitan:

Kerana kerja keras dan usaha gigih yang dilakukan sepanjang menjalankan tugas itu, Azlinda dianugerahkan Ikon Akademik Kerja Sosial oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dengan rekod kepimpinan dan pencapaian pendidikan yang cemerlang, KPT yakin pelantikan Azlinda berupaya melonjak prestasi Jabatan Pendidikan Tinggi ke tahap yang lebih tinggi dan turut memperkasa ekosistem pendidikan tinggi berpaksikan kecemerlangan.

Akhir sekali, seluruh warga kerja Sinar Bestari mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Azlinda atas perlantikan tersebut.

Semoga ALLAH mempermudahkan segala urusan beliau sepanjang berkhidmat sebagai KPPT.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok