Banjir: 708 calon tangguh SPM, dijadualkan pada sidang kedua April depan
PASIR MAS - Seramai 708 calon yang dijadualkan untuk menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bermula hari ini dan esok, terpaksa ditangguh berikutan situasi banjir yang melanda Kelantan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin berkata, kesemua 708 calon itu akan kembali menduduki peperiksaan pada sidang kedua yang akan berlangsung bulan April depan.
Baca juga
Banjir di Terengganu dan Kelantan: KPM dan LP sediakan garis panduan
(VIDEO) Tidak putus asa! Banjir bukan alasan, pelajar tetap bersemangat hadapi SPM 2021
“Kesemua 708 calon ini tidak perlu gusar kerana mereka dibenarkan untuk menduduki semula ujian bagi kertas peperiksaan yang dijadual esok dan lusa pada sidang kedua yang akan berlangsung pada bulan April depan.
“Sekiranya keadaan banjir lebih teruk dan ada pusat peperiksaan lain yang terpaksa ditutup atau ada calon yang perlu menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan alternatif, calon akan dihubungi oleh pihak sekolah.
“Memahami situasi semasa banjir, Kementerian Pendidikan (KPM) juga memutuskan memberi kelonggaran dari segi pemakaian uniform sekolah. Calon SPM 2021 dibenarkan memakai pakaian lain yang sopan dan bersesuaian,” katanya menerusi hantaran di laman rasmi Facebook milik beliau.
Menurutnya, tinjauan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kiambang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, yang masing-masing menjadi pusat peperiksaan kepada 144 dan 126 calon SPM 2021 bermula hari ini.
“Setakat tengahari ini terdapat tujuh buah pusat peperiksaan di Kelantan yang terkesan akibat banjir dan tidak dapat digunakan bagi jadual peperiksaan pada hari ini dan esok (Rabu 2 Mac dan Khamis 3 Mac) melibatkan seramai 708 calon.
“Pusat peperiksaan tersebut melibatkan SMK Rantau Panjang, SMK Gual Periok , SMK Baroh Pial , Maahad Muhammadi Rantau Panjang , Sekolah Menengah Ugama (SMU) Khairiah Banggol Setol , SMU Al-Falah dan SMK Meranti.
“Calon SPM yang berkenaan telah dihubungi pihak sekolah bagi memaklumkan situasi tersebut,” jelasnya.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Dalam pada itu, Radzi sempat memberi nasihat kepada calon supaya sentiasa peka dengan keadaan semasa di persekitaran dan segera memaklumkan kepada guru kelas, setiausaha peperiksaan atau pengetua masing-masing jika tidak boleh hadir bagi menduduki peperiksaan.
“Ini akan memudahkan tindakan lanjut diambil, khususnya yang melibatkan penjadualan semula ujian atau perubahan pusat peperiksaan,” ujar beliau.
Selain itu, semua pusat peperiksaan SPM di Terengganu beroperasi sepenuhnya esok. Walaupun ada sekolah yang terkesan banjir, calon-calon SPM telah dipindahkan ke pusat-pusat peperiksaan alternatif yang diwujudkan.
KPM memaklumkan pihaknya menerusi Lembaga Peperiksaan sentiasa memantau rapi situasi banjir dan telah menyediakan pelan tindakan bagi memastikan calon SPM tahun 2021 dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan teratur dan selamat.