1905654
1905654

Bas bawa 44 pelajar Kolej Matrikulasi Kedah terbakar di Gerik

Adlan Farhan Azwan
11 Sep 2022 03:22pm
A
A
A

Seramai 44 pelajar Kolej Matrikulasi Kedah melalui detik cemas apabila bas yang dinaiki tiba-tiba terbakar berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa di Gerik, Perak pada Sabtu lalu.

Kejadian sekitar pukul 2 petang itu dipercayai berlaku apabila satu tayar belakang bas berkenaan meletup dan mengakibatkan kebakaran.

Ketika kejadian, semua pelajar tersebut dalam perjalanan balik dari Kelantan ke Changlun bersama dua lagi bas ekspres lain secara konvoi.

Difahamkan, kebakaran itu berlaku daripada percikan api yang terhasil daripada tayar bas yang meletup sewaktu dalam perjalanan.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, beliau telah mengarahkan agar Bahagian Matrikulasi serta Kolej Matrikulasi Kedah mengambil tindakan segera bagi membantu pelajar yang terlibat.

“Bas sewa gantian telahpun membawa pelajar-pelajar terlibat pulang ke Kolej Matrikulasi Kedah.

“Sama-sama kita doakan perjalanan mereka dipermudahkan dan sampai ke destinasi dengan selamat,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Azizan Aziz memaklumkan kebakaran memusnahkan 85 peratus bas namun tiada mangsa tercedera.

“Semua pelajar dan pemandu sempat keluar menyelamatkan diri dan kebakaran tidak membabitkan kemalangan jiwa.

“Pemadaman menggunakan dua aliran pancutan bersumberkan jentera dan anggota turut membuat 'overhaul' bagi memastikan tiada unsur boleh menyebabkan kebakaran berulang," jelas beliau.

Artikel berkaitan

19 aduan diterima KPM sejak portal dilancarkan minggu lalu

Pemakaian pelitup muka di sekolah tidak lagi diwajibkan

‘Hentikan buli’ Ini pesanan penting KPM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok