covid-19 sekolah
covid-19 sekolah

Pemakaian pelitup muka di sekolah tidak lagi diwajibkan

Adlan Farhan Azwan
11 Sep 2022 01:10pm
A
A
A

Pemakaian pelitup muka di dalam atau luar bangunan kawasan sekolah adalah mengikut pilihan masing-masing dan tidak lagi diwajibkan.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, pemakaian pelitup muka masih digalakkan dalam sekolah terutama di tempat yang ramai orang dan sesak.

“Pada masa yang sama, pastikan anak-anak yang menaiki bas sentiasa memakai pelitup muka ketika berada di dalam bas sekolah.

“Apa yang paling penting, kita pastikan keadaan sekolah selamat daripada jangkitan Covid-19,” katanya menerusi rakaman video di laman Facebook beliau, baru-baru ini.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu menjelaskan ketetapan baharu itu bermula pada sesi persekolahan penggal III Sesi Akademik 2022/2023 yang bermula hari ini bagi negeri Kumpulan A manakala Isnin ini bagi negeri Kumpulan B.

“Bagi individu bergejala seperti demam, batuk dan selesema, pemakaian pelitup muka semasa di dalam bangunan kawasan institusi pendidikan diwajibkan, manakala bagi luar bangunan kawasan sekolah pula amat digalakkan.

“Bagi individu yang dikesan positif Covid-19 semasa berada di sekolah atau asrama, mereka diwajibkan memakai pelitup muka semasa dirujuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan penilaian kesihatan.

“Di samping itu, murid diwajibkan memakai pelitup muka semasa menaiki bas dan van sekolah atau perkhidmatan pengangkutan seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing,” jelas kenyataan itu.

KPM juga memaklumkan ketetapan ini terpakai untuk semua institusi pendidikan di bawahnya serta disarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

Artikel berkaitan

Pemakaian pelitup muka, guru dan pelajar boleh guna 2 jenis yang disarankan ini

Penggunaan lokar di sekolah, langkah terbaik atau sebaliknya?

19 aduan diterima KPM sejak portal dilancarkan minggu lalu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok