Orang ramai membantu mangsa yang cedera di lokasi kejadian.
Orang ramai membantu mangsa yang cedera di lokasi kejadian.

Bas sekolah rempuh orang ramai, 11 maut termasuk pelajar

04 Sep 2024 07:30am

BEIJING - Sebuah bas sekolah merempuh orang ramai di luar sebuah sekolah menengah di timur China, menyebabkan 11 ibu bapa dan pelajar terbunuh, demikian menurut media pemerintah.

Badan penyiaran rasmi CCTV melaporkan, pemandu bas ‘hilang kawalan’ kenderaan itu ketika menghampiri sekolah berkenaan di bandar Tai’an, Wilayah Shandong pada pukul 7.27 pagi (waktu tempatan).

Bas itu merempuh sekumpulan ibu bapa dan kanak-kanak di tepi jalan, lapor CCTV.

“Setakat ini, (kejadian) telah menyebabkan kematian 11 orang di mana enam daripada mereka ialah ibu bapa bersama lima pelajar,” lapor badan penyiaran itu dalam kemas kini selepas pukul 11.30 pagi.

Menurutnya, seorang lagi berada dalam keadaan kritikal manakala 12 lagi mangsa stabil.

Gambar dan video yang tersebar di media sosial menunjukkan orang ramai dengan pakaian berlumuran darah terbaring di atas jalan berhampiran sebuah bas berwarna kelabu.

Pemandu bas ditahan oleh polis tempatan dan punca kejadian masih dalam siasatan, kata CCTV. - AGENSI

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp