Untitled design (12)
Untitled design (12)

Bekas pesakit kanser otak yang juga huffaz antara penerima geran pendidikan YSD

Norliza Wasilan
06 Sep 2022 11:46am
A
A
A

Bekas pesakit kanser otak yang juga huffaz adalah antara 306 penerima biasiswa dan dermasiswa Yayasan Sime Darby (YSD) yang diperuntukkan khas untuk golongan memerlukan sempena sambutan Hari Malaysia dan kemerdekaan negara.

Sebanyak RM19 juta diperuntukkan bagi tujuan itu  khusus untuk membantu pelajar yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam pelbagai bidang.

Muhammad Ammar Azman, 22, yang disahkan menghidap kanser otak ketika berusia 10 tahun berkata, pada mulanya dia enggan melanjutkan pengajian di IPT kerana tidak mahu membebankan keluarganya disebabkan masalah kewangan.

Tambah anak ketiga daripada empat beradik ini, dia juga tidak mahu menyusahkan ibu bapanya lagi selepas mereka terpaksa membuat pinjaman untuk membiayai rawatan penyakitnya sebelum ini.

Namun, ujarnya, selepas diyakinkan bapanya, Azman Yusof, 50, dan ibu, Norhaizan Abdul Hamid, 52, untuk melanjutkan pengajian Diploma Pendidikan (Pengajian Islam) di Universiti Selangor (Unisel), dia akhirnya mengalah dan bertekad untuk tidak menoleh ke belakang.

Malah, tuturnya lagi, usaha ibunya yang juga kakitangan  Sime Darby Property Sdn Bhd membuat permohonan sehingga dia berjaya mendapat geran pendidikan di bawah Program Pendidikan Anak-Anak Kakitangan YSD membuatkannya cukup terharu.

“Saya amat bersyukur kerana terpilih menerima bantuan ini kerana ketika sakit dahulu, mak dan ayah banyak berhutang.

“Jadi, saya tidak mahu menyusahkan mereka lagi, ini kerana, pada masa itu (ketika menerima tawaran melanjutkan pengajian di Unisel) hutang mereka pun masih banyak untuk diselesaikan.

“Saya fikir ketika itu, kalau saya belajar nanti macam mana hendak bayar yuran  dan perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian, tapi Alhamdulillah sebab sekarang ini telah dipermudahkan,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Biasiswa Yayasan Sime Darby di Kuala Lumpur, semalam.

Ras Adiba menyampaikann geran pendidikan kepada salah seorang penerima. Foto/Yayasan Sime Darby.

Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi YSD, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar. Turut hadir Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Ketua Pegawai Operasi (Integrated Development) Sime Darby Property, Datuk Ir Mohd Idris Abdullah.

Muhammad Ammar yang bercita-cita mahu menjadi guru dan melanjutkan pengajian sehingga peringkat ijazah berkata, sepanjang menderita kanser, dia terpaksa menjalani lima pembedahan dan rawatan radioterapi untuk melawan penyakitnya.

“Sepanjang sakit, saya terpaksa melalui lima pembedahan dan radioterapi dengan rawatan terakhir ketika umur 12 tahun.

“Selepas rawatan terakhir, tidak lama selepas itu saya belajar menghafal al-Quran pada umur 15 tahun dan tamat 30 juzuk ketika 19 tahun.

“Memang banyak cabaran untuk menghafal al-Quran, saya bermula dengan seorang ustaz di sebuah pusat tahfiz di Klang sehingga 10 juzuk, kemudian apabila saya belajar di sebuah sekolah pondok di Kota Damansara, saya terpaksa mula daripada awal sehinggalah tamat 30 juzuk,” ujarnya lagi.

Artikel berkaitan

Inisiatif WEZAS UPSI salur bantuan RM1.2 juta kepada pelajar B40

Bincang inovasi terkini dunia penerbitan buku pendidikan

Rabun bukan penghalang Niki raih keputusan cemerlang dalam STPM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok