Tina (dua dari kiri) bersama pelajar yang akan mengikuti program GGB sejurus berakhirnya sidang akhbar di TIC baru-baru ini.
Tina (dua dari kiri) bersama pelajar yang akan mengikuti program GGB sejurus berakhirnya sidang akhbar di TIC baru-baru ini.

Belajar sambil jana pendapatan menerusi GGB

24 Jun 2024 10:53am

Taj International College (TIC) memperkenalkan Program Gerak Generasi Baru (GGB) yang membantu pelajar melanjutkan pengajian tanpa perlu membuat pinjaman pendidikan.

Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajuddin berkata, GGB dilancarkan untuk tangani kos sara hidup dan beban kos pengajian tinggi.

Menurutnya, menerusi program ini, pelajar yang mendaftar kursus yang disediakan akan diberikan peluang untuk menjana pendapatan dengan bekerja sambilan menerusi pelbagai platform disediakan.

“Saya melihat kebanyakan pelajar terutama generasi muda banyak terbeban dengan hutang selepas tamat pengajian dan tanpa pengetahuan asas tentang pengurusan kewangan yang bijak. Kalau kita lihat daripada statistik ekonomi negara, ramai yang dikelilingi dengan hutang pada usia muda.

"Oleh itu, saya berusaha mengatasi isu ini dengan mencetuskan idea program GGB bagi mengelakkan generasi baru dari dikelilingi hutang dan akhirnya belajar tanpa hutang,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di TIC, Ipoh, Perak baru-baru ini.

Tina berkata, program berkenaan memberi peluang khususnya kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk belajar sambil menjana pendapatan sekali gus membiayai kos sara hidup dan kos pengajian tanpa membebankan keluarga mereka.

Menurutnya, masa-masa terluang mereka (pelajar) selepas tamat kuliah, boleh dimanfaatkan dengan menjalankan aktiviti sampingan yang dibayar mengikut kemahiran melalui kursus masing-masing.

Jelasnya, di bawah inisiatif berkenaan, TIC memberi mereka platform untuk mengembangkan diri secara holistik dengan tidak hanya dalam aspek akademik tetapi juga dalam keupayaan menguruskan kewangan dengan bijak bagi memajukan ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan negara pada masa hadapan.

"Sebagai contoh, jika mereka ini mengikuti kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak, kita akan beri peluang untuk bekerja sambilan di taska atau menjalankan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan mereka akan dibayar.

"Ini sekali gus meningkatkan lagi kemahiran dalam bidang berkaitan dan menjadikan pelajar sebagai tenaga kerja terlatih menjelang tamat pengajian di sini," katanya lagi.

Sementara itu, Tina berkata, dalam menjayakan usaha berkenaan, TIC dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) akan menganjurkan Seminar Learn and Earn yang diadakan bersempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW).

Katanya, seminar bertujuan sebagai pengenalan kepada pelajar mahupun lepasan SPM untuk mengetahui dan memilih bidang yang diingini di samping panduan kepada mereka berkaitan kelebihan menjana pendapatan sambil belajar.

Beliau berkata, seminar berkenaan akan berlangsung pada 25 hingga 29 Jun 2024 dan mereka yang berminat boleh mendaftar diri di Portal NTW.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp