![LZS turun padang menziarahi murid terbabit di sekolahnya.](https://www.sinarharian.com.my/sinarbestari/uploads/images/2024/07/09/2719027.jpg)
Berhenti sekolah kerana tidak mampu bayar yuran
Guru besar sekolah hubungi LZS dan keluarga asnaf fakir itu diberi perhatian
Akibat desakan hidup, seorang ibu mengambil keputusan nekad menghentikan persekolahan anaknya selepas mengakui dia tidak lagi mampu membayar tunggakan yuran.
Perkara itu dinyatakan wanita tersebut kepada guru besar sekolah anaknya, namun penjawat awam terbabit membuat tindakan segera dengan memaklumkan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
LZS kemudian membuat semakan dan mendapati keluarga berkenaan merupakan asnaf fakir berdaftar di Zakat Selangor dan menerima bantuan keperluan sekolah, kewangan dan sewa rumah.
“Pihak LZS bersama guru besar menziarahi penama yang menetap di Puchong, Selangor.
“Hasil kunjungan, LZS mendapati bahawa ibu kepada murid ini tidak mampu membayar tunggakan yuran di sekolah yang banyak,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
![Pihak LZS bersama guru besar ketika menziarahi keluarga terbabit yang menetap di Puchong.](https://www.sinarharian.com.my/sinarbestari/uploads/images/2024/07/09/2719028.jpg)
Katanya, selepas menerima nasihat dan menjalankan perbincangan bersama, LZS bersedia membantu menyelesaikan tunggakan yuran murid berkenaan.
“Murid ini boleh meneruskan semula sesi persekolahannya, insya-ALLAH,” ujarnya.
Sementara itu, LZS turut memaklumkan pihaknya sudah turun padang menziarahi murid terbabit di sekolah sejurus dimaklumkan telah hadir ke sekolah oleh guru besarnya.
“Jelas terpancar kegembiraan pada wajah anak tersebut apabila dapat hadir semula ke sekolah dan belajar bersama rakan-rakan sebaya yang lain.
“LZS mengucapkan terima kasih kepada semua pengeluar zakat kerana membantu murid ini untuk kembali semula bersekolah.
“Anda adalah hero asnaf. Tanpa anda, anak-anak asnaf ini mungkin tidak akan ke sekolah lagi,” ujarnya.