Kumpulan pelajar cemerlang yang diraikan dan menerima anugerah dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM Tahun 2023 Negeri Johor di KSL Hotel and Resort Ahad lalu.
Kumpulan pelajar cemerlang yang diraikan dan menerima anugerah dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM Tahun 2023 Negeri Johor di KSL Hotel and Resort Ahad lalu.

Bilangan pelajar tidak duduki peperiksaan SPM membimbangkan

24 Jun 2024 11:21am

Seramai 901 pelajar di Johor tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, calon SPM 2023 yang paling ramai tidak menduduki peperiksaan tersebut adalah dari Johor Bahru melibatkan 223 pelajar.

Menurutnya, ini diikuti Pasir Gudang (218 pelajar); Batu Pahat (89 pelajar); Muar (63 pelajar); Kulai (86 pelajar); Segamat dan Kluang (53 pelajar); Mersing (34 pelajar) serta Tangkak dan Kota Tinggi (30 pelajar).

"Jumlah mereka yang tidak menduduki SPM pada tahun lalu amat merisaukan. Kita patut sedar dan tahu pentingnya menduduki SPM supaya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM Tahun 2023 Negeri Johor di KSL Hotel and Resort, Johor Bahru pada Ahad.

Beliau berkata, generasi muda di negeri ini bukan sahaja perlu menamatkan pembelajaran peringkat SPM tetapi juga harus melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Aznan (kiri) menyampaikan anugerah kepada calon SPM SMK Seri Perling, Eileen Yong.
Aznan (kiri) menyampaikan anugerah kepada calon SPM SMK Seri Perling, Eileen Yong.

Katanya, golongan berkenaan boleh memilih apa-apa bidang bersesuaian sama ada akademik mahupun kemahiran.

Artikel Berkaitan:

Usaha itu katanya, selari dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang meletakkan pendidikan sebagai agenda utama dalam memajukan negeri.

"Pemangku Sultan Johor telah menekankan di dalam ucapan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini, tentang kepentingan pendidikan berkualiti kepada anak Bangsa Johor.

"Anak Bangsa Johor perlu menamatkan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Biar apa pun minat, kecenderungan dan cita-cita mereka, mereka perlu menyambung pengajian bukan setakat berhenti pada peringkat sekolah sahaja," katanya.

Tambah Aznan, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga melihat pendidikan sebagai faktor utama yang dapat membantu Johor mencapai hasrat menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.

Bagi menyokong usaha itu, kata Aznan, beberapa inisiatif telah dilaksanakan bertujuan memberi galakan kepada golongan pelajar meneruskan kecemerlangan akademik di peringkat lebih tinggi.

"Antaranya termasuk Biasiswa Orang Muda Johor (BOMJ); Skim Bantuan Pendaftaran Ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT); Insentif Mahasiswa Anak Johor dan Skim Pinjaman Pelajaran.

"Peluang melalui Dasar Pendidikan di negeri ini sama ada bentuk sokongan kepakaran atau kewangan harus dimanfaat sebaiknya dalam memastikan kemenjadian murid, pelajar dan kualiti pendidikan di negeri Johor terus cemerlang," ujarnya.

Selain itu, beliau mahu komuniti setempat khususnya ibu bapa menggalakkan anak-anak untuk terus berusaha dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian.

Menerusi sokongan padu semua pihak, Aznan berkata, akan mampu melahirkan generasi cemerlang yang menyumbang kepada pembangunan negara.

No Image Caption

"Kita mesti bersama-sama berusaha membangunkan ekosistem yang bersifat pro-mahasiswa agar anak muda bersemangat dan berbangga menyambung pengajian dan menjadi mahasiswa.

"Mereka adalah masa depan kita dan pendidikan tertinggi merupakan pelaburan terbaik bangsa. Harapan saya setelah berjaya nanti, pulanglah semula ke negeri Johor untuk mencurah khidmat bakti kepada anak bangsa," tambahnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp