
Bukan ranking tetapi sokongan awal: Matriks pembelajaran perkukuh penguasaan murid
Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia (MPM) bagi murid Tahun Empat dan Tingkatan Tiga tidak bertujuan menghidupkan semula budaya ranking sekolah, sebaliknya memberi fokus kepada intervensi awal dan sokongan bersasar.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, sistem itu dirangka bagi membantu guru mengenal pasti tahap penguasaan sebenar murid, selaras dengan domain Pentaksiran Berasaskan Sekolah di bawah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan.
Menurut beliau, pendekatan itu menitikberatkan integriti pentaksiran dan kesejahteraan murid, bukan persaingan tidak sihat antara sekolah.
“Pelaksanaan matriks pembelajaran ini bukan untuk mewujudkan penarafan atau tekanan tetapi bagi mengenal pasti tahap penguasaan murid untuk tujuan sokongan dan intervensi awal,” katanya ketika menjawab pertanyaan tambahan Senator Che Alias Hamid pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.
Beliau menjelaskan, dapatan pentaksiran akan dimanfaatkan untuk memperkukuh literasi, numerasi dan kemahiran saintifik murid secara lebih menyeluruh. Pada masa sama, guru boleh merangka program pemulihan yang lebih berfokus tanpa mengabaikan silibus sedia ada.

Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan memantau pelaksanaan MPM secara berterusan bagi memastikan ia tidak disalah guna sehingga menjejaskan emosi dan motivasi murid.
Tegasnya, pentaksiran perlu menjadi alat memperkasa pembelajaran, bukannya mencetus stigma.
MPM bagi Tahun Empat dijadual dilaksanakan mulai Oktober 2026, manakala Tingkatan Tiga bermula 2027, sejajar perancangan pendidikan negara 2026–2035.
Pendekatan ini dilihat sebagai usaha memperkukuh asas pembelajaran murid secara sistematik dan berfokus, dengan keutamaan terhadap sokongan berbanding penarafan.
Ringkasan AI
- Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia (MPM) bertujuan untuk intervensi awal dan sokongan bersasar, bukan menghidupkan semula budaya ranking sekolah
- Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan sistem MPM membantu guru mengenal pasti tahap penguasaan murid secara lebih akurat
- Pendekatan MPM menekankan pada integriti pentaksiran dan kesejahteraan murid, bukannya mewujudkan persaingan tidak sihat
- Dapatan pentaksiran melalui MPM dimanfaatkan untuk meningkatkan literasi, numerasi, dan kemahiran saintifik murid secara menyeluruh
- MPM akan dilaksanakan mulai Oktober 2026 untuk Tahun Empat dan 2027 untuk Tingkatan Tiga, sejajar dengan perancangan pendidikan negara 2026–2035