
Bukan sekadar artis! Fattah Amin rupanya graduan UUM & penerima Anugerah Dekan
Nama Fattah Amin bukanlah asing dalam industri hiburan tanah air. Popular sebagai pelakon, penyanyi dan personaliti seni, beliau sering dikaitkan dengan kejayaan dalam dunia glamor.
Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa di sebalik popularitinya, Fattah sebenarnya memiliki latar belakang pendidikan tinggi yang kukuh dalam bidang industri kreatif.
Oleh itu, Sinar Bestari kongsikan serba sedikit pendidikan Fattah berdasarkan sumber rujukan Wikipedia.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, dilahirkan pada 14 September 1990 di Kuala Lumpur.
Beliau merupakan anak sulung daripada lima beradik kepada pasangan Mohd Amin Musa dan Azizah Abdul Ghani.
Berdasarkan rekod, Fattah pernah menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Tun Hussein Onn.
Kecenderungannya terhadap bidang seni dan kreatif semakin menyerlah apabila melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum menyambung ke Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam jurusan Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (BCIM).
Malah, Fattah juga pernah menerima Anugerah Dekan atas pencapaian cemerlang akademiknya di UUM.
Menerusi portal Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan UUM, matlamat BCIM adalah untuk melahirkan graduan yang mempunyai pengetahuan yang kompetitif, prinsip dan kemahiran dari segi asas teori dan praktikal untuk mengurus serta mempertingkatkan industri kreatif.
Objektif utama program ini merangkumi:
1) Menyediakan graduan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran pengurusan dalam industri kreatif.
2) Membangunkan graduan yang mempunyai kemahiran berfikir analitikal dan kritikal untuk menyelesaikan masalah dengan mengaplikasikan pengetahuan, prinsip dan kemahiran dalam menguruskan industri kreatif.
3) Untuk membangunkan graduan dengan kemahiran mengintegrasikan pelbagai penyelesaian teknologi, terutamanya dalam bidang kreatif mereka.
4) Membina graduan yang mempunyai kemahiran keusahawanan dalam industri kreatif.
5) Membina graduan yang mempunyai kemahiran komunikasi yang efektif dan tanggungjawab beretika.